Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

219) MOTO KERAJAAN: TRADISI MEMBELA RAKYAT

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah nilai dan semangat perpaduan yang cuba disemaikan oleh pemerintah kerajaan atasan menerusi moto kerajaan Negeri Selangor : Tradisi Membela Rakyat kepada rakyat Negeri Selangor?

    Secara rasmi, Moto (atau Slogan) Kerajaan Selangor ialah “Kejujuran dan Ketekunan” atau “Sincerity and Dedication” (dengan izin) dalam Bahasa Inggeris. Ketetapan ini dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor Bil. 24/2003 bertarikh 22 Oktober 2003, dan pemakaiannya telah dipanjangkan ke seluruh Jabatan/Agensi Negeri Selangor melalui Surat Pekeliling Setiausaha Kerajaan (SUK) Bilangan 3 Tahun 2003 yang berkuat kuasa pada 5 Disember 2003 (dan masih diguna pakai sehingga ke hari ini).

    Justeru, moto (atau slogan) “Tradisi Membela Rakyat” tidak pernah digunakan secara rasmi dalam pentadbiran Kerajaan Selangor, berdasarkan penjelasan yang telah dikemukakan. Walau bagaimanapun, pemakaian Moto “Kejujuran dan Ketekunan” ini membawa maksud usaha Kerajaan Selangor dalam memberi kepuasan dan kegembiraan yang sesungguhnya kepada orang ramai dan memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat. Moto ini turut membawa ciri-ciri berikut yang wajar dihayati dan diamalkan oleh seluruh warga kerja kerajaan Selangor, iaitu: –

     

    • Kejujuran adalah dasar utama etika manusia iaitu sentiasa bekerja dengan sikap jujur;
    • Keharmonian adalah tenaga, iaitu saling mempercayai untuk mewujudkan kerjasama;
    • Kesopanan adalah kebaikan, iaitu bersyukur dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain;
    • Kegigihan adalah punca kehidupan yang berguna, mengendalikan kesukaran dengan sikap positif; dan
    • Ketekunan adalah kemajuan, sentiasa berfikir untuk meningkatkan kemahiran dan kemajuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.