Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

8) MUZIUM PERMAINAN TRADISIONAL RAKYAT DI BUKIT MALAWATI

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status muzium permainan tradisional rakyat di Bukit Malawati kerana sehingga kini tidak beroperasi?

    Muzium Permainan Tradisional Rakyat di Bukit Malawati, Kuala Selangor memang sehingga kini masih belum dibuka kepada orang ramai. Pada tahun 2018 Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) menumpukan kepada kerja-kerja membaikpulih bangunan tersebut. Masalah utama ialah kebocoran yang menyeluruh pada bahagian bumbung bangunan menjadikan kerja-kerja pembaikan memakan masa yang lama kerana keseluruhan bumbung terpaksa ditanggalkan, dibaiki kerangkanya, dicuci jubinnya dan seterusnya dipasang semula. Pembaikan juga dibuat ke atas keseluruhan bangunan termasuk dinding, lantai dan kawasan sekitar. Kerja-kerja ini telah dapat disiapkan pada tahun 2018 yang lalu. Kerja-kerja ini telah menyebabkan perancangan untuk pengisian pameran ditangguhkan seketika bagi memastikan keadaan bangunan muzium berada dalam keadaan selamat untuk penempatan koleksi muzium dan pengunjung.

    PADAT pada masa ini sedang melaksanakan kerja-kerja pembangunan pameran dan dijangkakan siap pada hujung tahun ini. Bagi tujuan tarikan pengunjung  ke muzium ini, beberapa aktiviti sampingan berkaitan dengan permainan tradisional rakyat akan turut diperkenalkan dan dikembangkan kepada pengunjung seperti permainan batu seremban, congkak, sepak raga, batu seremban, teng-teng dan sebagainya. PADAT menjangkakan Muzium Permainan Tradisional Rakyat, Kuala Selangor ini akan dapat menjadi salah satu lagi daya tarikan pengunjung khususnya untuk kawasan Kuala Selangor

Lampiran

Tiada Lampiran.