Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

45) Muzium Sejarah Kuala Selangor

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menggalakkan pengunjung datang ke Muzium Sejarah Kuala Selangor?

    Sukacita dimaklumkan, seramai 259,994 pelawat yang telah ke Muzium Sejarah Kuala Selangor pada tahun 2019. Ia merupakan jumlah tertinggi diantara kesemua muzium yang ada di Selangor. Bagi mempertingkatkan lagi jumlah kehadiran pelawat, kerajaan negeri melalui agensinya iaitu Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah melaksanakan program bersepadu bagi membangunkan kawasan pelancongan di Bukit Malawati.

    PADAT telah mengambil inisiatif untuk membangunkan keseluruhan produk-produk warisan yang ada di kawasan bukit Malawati. Beberapa projek telah siap diantaranya merupakan :

    1. Konservasi tangga seratus,
    2. Menaiktaraf laman budaya yang akan menempatkan pertunjukan kesenian setiap hujung minggu
    3. Melaksanakan konservasi bangunan Muzium Permainan Tradisional, serta PADAT juga sedang membuat pengisian yang akan dibuka pada bulan Jun 2021.

    Selain itu, kerja-kerja konservasi batu hampar, perigi beracun dan perigi tujuh masih sedang dijalankan. Konservasi bangunan bekas Rumah Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran akan menempatkan Muzium Monyet. Untuk makluman terdapat 22 spesis monyet di Malaysia tetapi hanya 8 spesis monyet yang masih aktif di Kuala Selangor. Muzium ini merupakan muzium yang pertama didunia dan ianya dapat dijadikan salah satu daya tarikan di Bukit Melawati.

    Program yang dijangkakan lebih menarik akan dilaksanakan oleh PADAT iaitu ekskavasi arkeologi bekas tapak istana dan kubu pertahanan Kesultanan Negeri Selangor yang akan menjadi salah satu bahan bukti kewujudan dan kegemilangan Kesultanan Negeri Selangor. Program konservasi tugu perang dunia kedua di pekan lama Kuala Selangor, dimana ramai yang masih tidak menyedari akan kewujudan tugu ini dan akhir sekali, menaiktaraf kota Tanjung Keramat.

    Melalui pelbagai produk warisan yang ditawarkan ini, pakej pelancongan yang ditawarkan dijangka akan dapat menarik lebih ramai pelancong ke kawasan ini dan secara tidak langsung mereka juga akan melawat ke Muzium Sejarah Kuala Selangor. Bagi Muzium Sejarah, PADAT lebih fokus untuk mempelbagaikan lagi koleksi yang berkaitan dengan daerah Kuala Selangor.

    Dari segi penganjuran aktiviti pelancongan berteraskan warisan, PADAT telah merancang untuk mewujudkan pakej lawatan berpandu ke Muzium Sejarah, tapak-tapak warisan di Bukit Malawati dan disertakan dengan persembahan kebudayaan di Laman Budaya yang telah dibaik pulih sebelum ini. Pakej pelancongan ini akan dijalankan secara kerjasama dengan kumpulan-kumpulan kebudayaan tempatan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan sumber ekonomi dalam bidang kesenian.

Lampiran

Tiada Lampiran.