Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

14) MYSEL

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. MySel ditubuhkan demi membantu dalam masalah kewarganegaraan. Namun begitu, tiada sebarang informasi atau butiran tentang unit khas ini selain daripada laman web Facebook YB Kota Kemuning. Apakah usaha yang akan dilakukan oleh kerajaan demi menyelesaikan masalah ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat Balakong, Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri Mysel (Mysel) ini mula bergerak secara aktif pada tahun 2016 dengan bertujuan khusus untuk membantu masyarakat yang menetap di Negeri Selangor bagi mendapatkan dokumen – dokumen peribadi / asas / penting seperti dokumen pengenalan diri, kewarganegaraan, sijil kelahiran dan kad pengenalan serta menyelesaikan permasalahan anak – anak yang tidak mempunyai surat beranak akibat daripada sindiket perkahwinan di sempadan termasuklah kegagalan ibu bapa untuk mendaftar kelahiran anak – anak mereka di atas sebab – sebab tertentu.

     

    Bagi sesi baharu 2018 sehingga 2020, Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin telah melantik dua (2) orang pegawai bagi mengendalikan Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri Mysel sebagaimana butiran di bawah:

    BIL NAMA PEGAWAI
    1. Puan Shanta @ Rabiah a/p Satta
    2. Encik Regupati a/l Raman

     

    Pegawai – pegawai yang dilantik ditempatkan di Pejabat EXCO bagi mengendalikan Pusat Dokumen Pengenalan Diri Mysel yang khusus untuk membantu golongan miskin yang tidak mempunyai pengetahuan, maklumat dan saluran yang betul untuk membuat sesuatu permohonan bagi mendapatkan dokumen – dokumen tersebut di atas.

     

    Pegawai Mysel berperanan dalam merancang, menyelaras dan menyediakan dokumen – dokumen dan keperluan berkaitan dan memastikan setiap permohonan yang dikemukakan kepada agensi dan jabatan berkenaan adalah lengkap dan teratur. Pegawai juga bertanggungjawab memastikan program Pusat Dokumen Pengenalan Diri Mysel ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan dapat dimanfaatkan oleh setiap rakyat di Negeri Selangor.

    Namun begitu, penyataan Yang Berhormat Balakong bahawa tiada sebarang informasi atau butiran khas unit ini adalah kurang tepat. Pegawai – pegawai Mysel telah melaksanakan dan menggunakan pelbagai kaedah hebahan berhubung manfaat program ini dan mendekati rakyat melalui pengedaran flyers, sesi penerangan dan secara “walk in” ke setiap DUN. Pengedaran flyers ini disusuli dengan sesi penerangan daripada Pegawai Mysel dengan kerjasama dan komitmen rapat bersama Pusat Khidmat Masyarakat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ketua Komuniti Kaum India (KKI) setempat serta rumah – rumah ibadat. Taklimat dan sesi penerangan ini diadakan diadakan secara giliran di setiap DUN dengan membuka booth pertanyaan. Ini terbukti dengan peningkatan kes – kes yang diterima dan berjaya diselesaikan oleh Pegawai Mysel.

    Pada tahun 2018, Program Dokumen Pengenalan Diri Mysel telah menerima sebanyak 1,686 permohonan melibatkan  dokumen pengenalan diri. Daripada jumlah keseluruhan permohonan tersebut, sebanyak 457 permohonan didapati lengkap dan sebanyak 94 kes telah berjaya diselesaikan. Berikut adalah status bagi permohonan tersebut:

     

    BIL. PERKARA STATUS
    1. Permohonan Warganegara 26 permohonan berjaya daripada 101 permohonan
    2. Permohonan Anak Angkat 7 permohonan berjaya daripada 66 permohonan
    3. Permohonan IC Merah 16 permohonan berjaya daripada 115 permohonan
    4. Permohonan IC Biru 4 permohonan berjaya  daripada 15 permohonan
    5. Permohonan Sijil Kelahiran 33 permohonan berjaya daripada 116 permohonan
    6. Permohonan Imigresen 7 permohonan berjaya dari 28 permohonan
    7. Permohonan Kad Pengenalan 1 permohonan berjaya daripada 16 permohonan

     

    Berikut adalah permohonan  mengikut kaum yang direkodkan :

    KAUM PERMOHONAN
    Melayu 97 Permohonan
    Cina 81 Permohonan
    India 279 Permohonan
    Jumlah 457 Permohonan

     

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa dan Pegawai Mysel dilantik sentiasa proaktif dalam mencari solusi terbaik serta kaedah baru yang lebih efisien bagi memastikan Program Mysel ini akan lebih diketahui oleh rakyat Selangor khususnya. Penggunaan media sosial dan digital akan diperhebatkan lagi bagi mempromosikan program Mysel demi menjaga kebajikan rakyat Selangor khususnya. Secara tidak langsung, melalui program MySEL mereka dapat membina kehidupan baru secara normal dengan membuang pandangan prejudis terhadap mereka. Program ini sejajar dengan dasar Kerajaan Negeri dalam kepedulian terhadap setiap rakyat Selangor untuk menikmati manfaat dalam program Inisiatif Peduli Rakyat mengikut kelayakan masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.