Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

140) NILAI PERKHIDMATAN PBT PADA CUKAI YANG DIBAYAR

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah perkhidmatan PBT berkadaran dengan nilai cukai yang dibayar?

    Kerajaan Negeri sentiasa memastikan perkhidmatan yang diberikan oleh PBT adalah pada tahap yang terbaik melalui kelulusan belanjawan tahunan PBT. Perancangan belanjawan di peringkat PBT adalah berdasarkan anggaran hasil yang boleh dikutip bagi memastikan penyediaan belanjawan adalah berimbang. Namun demikian, ia tidak mengambil kira hasil yang tidak dapat dikutip serta peningkatan kos yang terpaksa ditanggung oleh PBT, di mana perkara -perkara ini merupakan cabaran semasa yang perlu dihadapi PBT Negeri Selangor dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat setempat. Oleh yang demikian, sebagai langkah kawalan ke atas kelulusan Anggaran Belanjawan Tahunan, PBT perlu merancang perbelanjaan secara berhemah dan berkadaran dengan hasil yang diperolehi.

    Seterusnya, setiap kawasan PBT yang dikenakan cukai taksiran adalah menjadi tanggungjawab PBT untuk menyediakan perkhidmatan, merangkumi perkhidmatan secara langsung dan tidak langsung. Perkhidmatan PBT terdiri daripada 3 perkara asas seperti berikut:

    • Pembangunan Kawasan, iaitu dari segi pengindahan bandar, penyediaan dan penjagaan kemudahan awam seperti lampu -lampu jalan, pokok dan perhentian bas, pasar, jalan di kawasan perumahan, taman-taman permainan, longkang serta lain -lain;

     

    • Pembangunan sosial atau kemudahan awam seperti padang-padang permainan, dewan orang ramai,kompleks sukan serta lain -lain kemudahan kepada rakyat untuk beriadah; dan

     

    • Pembersihan bandar seperti perkhidmatan memungut sampah, pengawalan nyamuk atau penyakit berjangkit (kawalan vektor), pembersihan kawasan awam dan lain -lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.