Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

125) NON REVENUE WATER (NRW)

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah kadar NRW semasa di Selangor dan apakah faktor-faktor menyebabkan ia sukar dikawal?

    Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya semasa permulaan Perjanjian Konsesi SYABAS pada 01 Januari 2005 adalah pada tahap 42.78%. Di bawah Perjanjian Konsesi SYABAS yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan SYABAS, SYABAS telah memberikan aku janji untuk menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) sehingga 15% menjelang tahun 2015. Sasaran NRW yang perlu diturunkan oleh SYABAS berdasarkan kepada tarikh semakan tarif adalah

    seperti berikut:-

    Tarikh Semakan Tarif NRW disasarkan Penurunan NRW
    01 Januari 2006 37.78% 5%
    01 Januari 2009 27.98% 9.80%
    01 Januari 2012 19.98% 8.00%
    01 Januari 2015 15.48% 4.50%
    01 Januari 2018 15.00% 0.48%
    01 Januari 2021 15.00% Kekal
    01 Januari 2024 15.00% Kekal
    01 Januari 2027 15.00% Kekal
    01 Januari 2030 15.00% kekal

    Namun demikian, NRW yang berjaya dicapai oleh SYABAS sehingga 2013 adalah pada tahap 34.5% sahaja.

    SYABAS sebagai operator agihan tunggal di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mendakwa bahawa faktor yang menyumbang kepada kegagalan SYABAS dalam menurunkan NRW adalah disebabkan oleh pembekuan kelulusan perbelanjaan CAPEX oleh Kerajaan Negeri Selangor.  Namun demikian, hasil dari semakan yang telah dibuat, Kerajaan Negeri Selangor mendapati SYABAS tidak memberikan tumpuan utama di dalam kerja-kerja mengurangkan NRW di mana perkara ini dapat dilihat apabila pengurusan SYABAS hanya memperuntukkan seramai 50 orang sahaja kakitangan bagi program NRW di seluruh Negeri Selangor.  Semua program NRW SYABAS diserahkan untuk dilaksanakan melalui satu kontrak jangka panjang yang dimasuki oleh SYABAS dengan Tetuan Jalur Cahaya Sdn Bhd.

    Di dalam melaksanakan kerja-kerja penurunan kadar NRW, SYABAS memberi penekanan terhadap projek infrastruktur seperti kerja-kerja pengantian paip-paip air dan  penukaran meter.  Kerja-kerja ini merupakan kerja yang diperuntukkan di dalam Perbelanjaan Modal (Capital Expenditure).  Sebarang perbelanjaan ke atas CAPEX oleh SYABAS akan diambil kira di dalam permohonan pelarasan kadar tarif SYABAS.  Semakan yang dibuat ke atas perbelanjaan CAPEX mendapati perbelanjaan modal (CAPEX) untuk kerja-kerja NRW adalah merupakan komponen perbelanjaan terbesar yang dibelanjakan oleh SYABAS, namun hasilnya adalah tidak setanding perbelanjaan yang telah dibelanjakan.

    Ini membuktikan bahawa walaupun SYABAS telah diberikan peruntukkan yang jauh melebihi amaun yang dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi, namun SYABAS masih gagal untuk menurunkan NRW kepada kadar yang sepatutnya.

    Kegagalan tersebut telah menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW seperti dijanjikan Syabas. Kapasiti  663JLH itu adalah lebih kurang jumlah air yang dikeluarkan oleh Loji Sungai Semenyih yang dianggarkan boleh menampung keperluan 353,000 akaun atau dari bilangan orang, boleh menampung penggunaan untuk seramai 1.2 juta orang.

Lampiran

Tiada Lampiran.