Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

25) OKU

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan kemudahan OKU di Selangor belum tercapai, apakah ada jk khas di peringkat negeri yang bertanggungjawab untuk mengaudit bebas halangan untuk OKU? Nyatakan Siapa?

    Kerajaan Negeri Selangor amat menghargai usaha dan inisiatif Pihak Berkuasa Tempatan yang prihatin dalam menyediakan pelbagai kemudahan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) mengakses kemudahan yang terdapat di kawasan PBT.

    Pihak PBT juga telah mewujudkan Jawatankuasa Bandar Selamat Dan Bebas Halangan yang bertanggungjawab memberikan penekanan kepada golongan OKU di mana golongan ini merupakan sebahagian daripada masyarakat yang berhak menerima perkhidmatan dan kemudahan yang sama rata.

    Melalui jawatankuasa ini, Kerajaan Negeri akan memastikan golongan OKU dapat menikmati dan mengakses kemudahan yang disediakan seperti memastikan setiap bangunan lama dinaiktaraf bagi memudahkan golongan OKU seperti tandas, tempat letak kereta, ramp dan sebagainya serta menyediakan kaunter khas bagi memudahkan golongan OKU berurusan.

    Manakala bagi pembangunan baru, setiap pemaju perumahan telah disyaratkan untuk menyediakan kemudahan OKU di setiap projek pembangunan perumahan melalui syarat pemberian kelulusan di peringkat pelan kebenaran merancang (Jabatan Perancang) dan pelan bangunan (Jabatan Bangunan) di setiap PBT. Ianya perlu dipatuhi oleh setiap kontraktor sebagaimana yang telah digariskan dalam pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984 melalui Seksyen 34A.

    Bagi memastikan tahap kemudahan OKU mencapai piawaian yang telah ditetapkan, pihak PBT akan melaksanakan pemantauan sepenuhnya ke atas kemudahan OKU yang disediakan dalam memastikan keperluan golongan OKU tidak dipinggirkan serta mendapat hak yang sama seperti masyarakat normal.

    Selain itu, Kerajaan Negeri tidak menetap satu sasaran yang sama bagi mencapai bebas halangan OKU memandangkan setiap PBT mempunyai pelan perancangan bandar bebas halangan yang berbeza mengikut keperluan dan isu setempat yang terdapat di setiap PBT.

Lampiran

Tiada Lampiran.