Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

14) PADANG TARAF FIFA DAN KEMUDAHAN SUKAN UNTUK SEMUA JANTINA

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengkaji semula cadangan membina dan menaik taraf padang bolasepak kampung supaya bertaraf padang FIFA di setiap DUN?

    Kerajaan Negeri amat menitikberatkan aspek pembangunan sukan dan sangat prihatin terhadap keperluan kemudahan sukan di Negeri Selangor. Justeru itu, penyediaan kemudahan sukan untuk menggalakkan penglibatan generasi muda dalam aktiviti-aktiviti kesukanan tidak pernah diabaikan.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM40,000.00 kepada setiap Dewan Negeri bagi Projek Menaiktaraf dan Membaikpulih Kemudahan Sukan. Untuk makluman, keperluan pembaikan kemudahan sukan di peringkat Dewan Negeri adalah bagi memastikan kemudahan sukan yang telah rosak dapat dinaiktaraf untuk digunakan oleh masyarakat setempat. Kemudahan ini boleh digunakan sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kesukanan dan riadah bagi melahirkan masyarakat yang sihat, aktif dan berdaya saing.               

    Untuk makluman, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan ke 13 / 2019 yang diadakan pada 23 Mei 2019 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan ke 14 / 2019 pada 29 Mei 2019 telah menimbang dan meluluskan Penggunaan Peruntukan Sukan di kawasan Dewan Negeri seperti berikut: -Bersetuju agar penggunaan 1/3 daripada 30% jumlah peruntukan Projek Kecil di bawah peruntukan Y.B. Ahli Dewan Negeri hendaklah digunakan bagi menaiktaraf dan membaikpulih infrastruktur sukan;

    i.Bersetuju agar peruntukan P01-07002 (Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Infrastruktur Sukan) sebanyak RM40,000.00 disalurkan secara Waran kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) berdasarkan Surat Setuju Terima (SST);

    ii.Bersetuju agar semua pelaksanaan bagi projek membaikpulih dan menaiktaraf infrastruktur sukan perlu berdasarkan Proses Kerja Bagi Cadangan Kerja-Kerja Penyelenggaraan Kemudahan Sukan seperti di Lampiran 1 dan menjadikan Bill of Quantity yang telah disediakan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) sebagai rujukan bagi pelaksanaan projek tersebut; dan

    iii.Bersetuju agar Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Infrastruktur Sukan bagi tahun 2019 dikhususkan kepda kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf padang bola sepak manakala bagi tahun-tahun berikutnya akan ditentukan oleh Y.B. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sukan.

     

    Selaras dengan keputusan tersebut, satu penambahbaikan telah dibuat bagi Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Kemudahan Sukan di kawasan Dewan Negeri yang mana pada tahun ini, projek ini akan dikhususkan kepada Kerja-Kerja Membaikpulih dan Menaiktaraf Padang Bola Sepak. Cadangan kerja baikpulih dan naiktaraf bagi projek tersebut adalah seperti berikut: –

    • Kawasan yang terlibat adalah Padang Bola Sepak Utama yang berkeluasan 95 x 60 meter (FIFA: Panjang 90m-120m, Lebar 45m-90m);
    • Kerja-kerja memotong rumput dan mencabut tumbuhan liar di kawasan padang;
    • Membekal dan menyediakan campuran pasir (1:3) dan top soil (2:3) sebagai medium penanaman rumput;
    • Menjalankan kerja meratakan permukaan tanah;
    • Rumput padang dibaikpulih dengan penggunaan rumput sedia ada serta membekal rumput jenis ‘cowgrass’ bagi membaiki permukaan tanah yang tidak subur;
    • Membekal dan menabur bahan kimia seperti baja bagi proses percambahan rumput padang;
    • Menjalankan proses penjagaan sekurang-kurangnya 3 bulan bagi memastikan hasil penumbuhan rumput yang baik;
    • Membuat penanda garisan padang bola sepak;
    • Membaiki kedudukan dan keadaan tiang gol sedia ada beserta kerja mengecat semula;
    • Membaikpulih pagar penghalang setinggi 30 kaki; dan
    • Membina ‘Grandstand’ jenis tempat duduk berperingkat di kawasan tepi padang.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.