Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

235) Pakej Rangsangan Ekonomi Covid 19

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor melalui rangsangan Ekonomi bagi menangani gelombang besar ketiga Covid-19?

    Penularan COVID-19 ini ternyata telah menjadi krisis kesihatan global yang melanda seluruh dunia. Bagi menangani penularan wabak ini daripada berterusan, kerajaan dan kakitangan barisan hadapan berganding bahu dalam membentuk strategi yang efektif dan berkesan. Sementara itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan mengehadkan perjalanan orang ramai dengan mengenakan penutupan penuh dan perbatasan antarabangsa merupakan salah satu langkah terbaik bagi membendung jangkitan ini.

    Pandemik dan PKP memberi kesan kepada negara dengan ketara bermula April 2020. Semua pihak termasuk negeri Selangor terkesan dari sudut sosial dan ekonomi oleh langkah dan prosedur operasi yang ketat yang dikenakan. Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan agresif dan berusaha untuk meringankan beban golongan yang terlibat dengan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi – Selangor Prihatin Pertama, Kedua dan Ketiga bagi memastikan kesejahteraan rakyat, dengan semua inisiatif dan polisi yang proaktif untuk mempercepat pemulihan dan merancakkan penyertaan dalam pasaran buruh dengan gaji yang memuaskan menjadi keutamaan. Ini hanya dapat dilakukan dengan pemantauan rapi dan pelaksanaan semua inisiatif untuk memastikan apa yang telah dirancang terlaksana dan dapat dinikmati oleh kumpulan sasar.

    Fasa Gempur COVID dengan sembilan (9) inisiatif dan nilai kewangan sebanyak RM127.78 juta telah diumumkan pada 20 Mac 2020. Seterusnya, pada 1 April 2020, Pakej Selangor Prihatin 2 dengan sebelas (11) inisiatif telah diumumkan untuk menampan kesan langsung wabak, manakala pakej ketiga diumumkan pada 13 Julai 2020. Ketiga-tiga pakej rangsangan ini dibiayai oleh peruntukan Kerajaan Negeri, sumbangan Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor ini ialah RM55.85 bilion.

    Inisiatif yang telah dilaksanakan untuk Pakej Selangor Prihatin 1 adalah seperti berikut:

    1. Insentif sebanyak RM200 secara one off kepada petugas barisan hadapan di Negeri Selangor;
    2. Bantuan makanan kepada petugas hospital di Negeri Selangor;
    3. Makanan percuma mahasiswa/ mahasiswi di UNISEL, KUIS dan INPENS;
    4. Insentif khas peniaga/ penjaja berlesen;
    5. Penangguhan bayaran balik pinjaman Skim Hijrah Selangor;
    6. Penangguhan bayaran dan penstrukturan semula bayaran sewa bagi peserta Skim Smart Sewa;
    7. Bantuan RM200 secara one off kepada mahasiswa/ mahasiswi Selangor di Universiti Awam Sabah dan Sarawak;
    8. Had nilai belanja Mesra Rakyat ADUN dipertingkatkan; dan
    9. Pelanjutan bayaran cukai tanah/ petak selama satu bulan.

     

    Inisiatif yang telah dilaksanakan untuk Pakej Selangor Prihatin 2 pula adalah seperti berikut:

    1. Membangunkan platform e-learning untuk pembelajaran secara online;
    2. Menghargai petugas barisan hadapan yang merangkumi bantuan makanan dan keperluan task force COVID-19 Selangor;
    3. Pewujudan Tabung COVID-19 Selangor;
    4. Pelanjutan tempoh bayaran premium selama satu bulan bagi pemegang notis 5A dan 7G;
    5. Pengecualian denda lewat bagi bayaran cukai taksiran di PBT bagi penggal pertama 2020;
    6. Penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor;
    7. Peluasan secara sementara penggunaan peruntukan ADUN;
    8. Pemberian kepada MPKK dan Ahli Majlis PBT;
    9. Bantuan kepada petani/ penternak/ nelayan/ IAT;
    10. Meningkatkan kesihatan rakyat dengan pembekalan topeng muka, hand sanitizer dan sarung tangan, dan pembukaan operasi stesen kuarantin Negeri Selangor; dan
    11. Bantuan kepada mangsa COVID-19.

     

    Inisiatif yang telah dilaksanakan untuk Pakej Selangor Prihatin 3 pula adalah seperti berikut:

    Tonggak Pertama – Keselamatan Makanan (Food Security)

    1. Inisiatif AgroData – inisiatif untuk melengkapi kesenjangan di antara permintaan dan penawaran bahan makanan asas;
    2. Inisiatif Jaminan Bekalan Makanan Selangor – inisiatif jaminan bekalan makanan Selangor melalui projek-projek pertanian makanan dan penternakan; dan
    3. Inisiatif Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC) – inisiatif platform pasar dalam talian kepada usahawan luar bandar

     

    Tonggak Kedua – Kemampanan Ekonomi (Economic Sustainability)

    1. Merancakkan semula sektor pembinaan – Projek Rumah Selangorku Harapan & Projek Rumah IDAMAN;
    2. Mempertingkatkan dan memperkasakan industri bekalan air;
    3. Inisiatif Selangor E-Kitchen – inisiatif digitalisasi perniagaan;
    4. Inisiatif Pelaburan WAAQAF; dan
    5. Pemberian Baucar Pelancongan

     

    Tonggak Ketiga – Pembangunan Keupayaan (Capacity Building)

    1. Selangor Kerjaya – sistem profiling dan pangkalan data yang mengambil kira kesesuaian minat, keperibadian, kompetensi dan kemahiran tenaga kerja;
    2. Inisiatif Rakan Digital ataupun Digital Ambassadors – bimbingan kepada golongan belum celik digital;
    3. Inisiatif Data Internet Selangor; dan
    4. Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE)

     

    Negeri Selangor sebagai salah satu negeri penyumbang KDNK terbesar Malaysia perlu segera menyediakan pemangkin untuk merangsang ekonomi dalam sektor-sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK Negeri Selangor. Oleh yang demikian, beberapa solusi kitaran ekonomi untuk pemulihan telah dirangka seperti berikut:

    a. Meningkatkan kecairan tunai penyedia perkhidmatan/ kontraktor melalui Program Selangor Advanced dengan pembiayaan RM100 juta. Pelaksanaan inisiatif ini dibuat secara berfasa yang mana Fasa Pertama telah dimulakan pada 1 Jun 2020 dengan penyedia perkhidmatan/kontraktor yang memberikan perkhidmatan kepada anak syarikat Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).

    b. Pemulihan tenaga kerja (upskilling) menerusi Program Youth Economy Smart Selangor (YESS) dengan penciptaan sekurang-kurangnya 10 ribu peluang pekerjaan yang melibatkan lokaliti Dewan Negeri Selangor. Inisiatif ini bertujuan untuk meminimakan kesenjangan (gap) kemahiran antara penawaran (graduan/bukan graduan) dan permintaan (majikan) serta memastikan padanan yang terbaik untuk para majikan. Program ini akan dilaksanakan oleh pihak MBI bersama dengan Prestariang dan STRAND. Secara tidak langsung, program ini juga meningkatkan nilaian hartanah perindustrian Negeri Selangor menerusi pelabur asing yang membuka kilang/perniagaan kerana tertarik dengan kesediaan penawaran tenaga kerja menerusi program ini.

    c. Merancakkan pembangunan hartanah menerusi penambahbaikan polisi pembangunan Rumah Mampu Milik termasuklah meningkatkan jumlah kesediaan (availability) rumah untuk Smart Sewa.

    d. Usahawan Digital menerusi Program Digital Selangor yang bermatlamat untuk memacu ekonomi negeri menerusi inisiatif digitalisasi agar ekonomi negeri dapat memberi penciptaan nilai baharu kepada masyarakat. Ia melibatkan kolaborasi antara Kerajaan Negeri dengan Grab, FAMA, PKPS dan seluruh PBT Negeri serta dilaksanakan secara berfasa seperti berikut:

    • Kerjasama MBI dengan Grab;
    • Inisiatif e-Pasar (penjaja/peniaga kecil di pasar sekitar Selangor); dan
    • Inisiatif e-Bazar Ramadhan (penjaja/peniaga kecil bazar Ramadhan di sekitar Selangor).

     

    e. Konsep Pertanian 4.0 yang menjurus kepada kaedah pertanian masa hadapan seperti precision agriculture (penggunaan peralatan moden dan teknologi GPS), penanaman secara fertigasi dan kaedah tanaman menegak (vertical agriculture) dalam memastikan bekalan makanan atau food security Negeri Selangor berada dalam tahap yang selamat dan dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan agropreneur serta amalan pertanian lestari (sustainable agriculture).

    f. Penambahbaikan pengurusan terimaan hasil Kerajaan Negeri. Ini termasuklah, usah-usaha untuk memberi kemudahan kepada pemaju/individu bagi membayar premium tanah secara berperingkat tanpa menjejaskan hasrat untuk pemajuan tanah. Selain itu, strategi ini juga akan meningkatkan sistem penyampaian Kerajaan Negeri dalam pengurusan terimaan hasil.

    g. Usaha Kerajaan Negeri turut akan melibatkan Industri Kecil dan sederhana di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja. Usaha ini adalah langkah pertama syarikat-syarikat IKS merebut kesempatan untuk meningkatkan persaingan digitalisasi dan revolusi Industri 4.0. Kerajaan Negeri akan membantu bebanan kos pendigitalan urus tadbir tenaga kerja syarikat-syarikat IKS di Negeri Selangor.

    h. Kerajaan Negeri juga akan terus memperkasakan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Air Selangor akan membangunkan infrastruktur air yang lestari dengan penerbitan Sukuk Kelestarian Air Selangor di bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment Sukuk, SRI Sukuk). Nilai sukuk yang akan diterbitkan berjumlah sehingga RM10 bilion dengan tempoh matang antara 1 hingga 20 tahun. Hasil daripada penerbitan Sukuk Kelestarian Air Selangor ini akan digunakan untuk membiayai infrastruktur air mesra alam.

     

    Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri dijangka dapat menyuntik nilai ekonomi berjumlah hingga RM20 billion. Usaha yang dicadangkan ini dijangka dapat membantu Kerajaan Negeri untuk merancakkan ekonomi Negeri Selangor yang menjadi tunjang kepada ekonomi negara.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.