Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

34) PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI RM 50 BILION KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohamad Khir Bin Toyo

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Kerajaan negeri telah melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi RM 50 Bilion pada tahun 2009 meliputi lima langkah utama. Berapa banyak yang telah dibelanjakan daripada RM 50 bilion tersebut dan dari mana sumbernya?

    Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah yang proaktif dalam merangka dan merencanakan pembangunan Negeri Selangor. Setiap perancangan pembangunan negeri, pada dasarnya  telah dibentuk berdasarkan wawasan dan usaha Kerajaan Pakatan Rakyat melalui pendekatan yang komprehensif dan holistik iaitu pembangunan yang menggabungkan semua aspek-aspek ekonomi, sosial, fizikal dan spiritual. Prinsip asas yang menjadi teras perancangan ini adalah dengan memberi penekanan terhadap pembangunan yang seimbang dengan menetapkan nilai kerohanian dalam sebarang perancangan pembangunan di samping memastikan penjagaan dan pengekalan alam sekitar.

    Sebagai langkah utama ke arah pembangunan negeri yang mantap dan cemerlang, satu suntikan penjanaan semula ekonomi melalui pelancaran Pakej Rangsangan Ekonomi telah dilaksanakan pada bulan Mac 2009  yang lalu. Senarai projek-projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi ini merangkumi kombinasi projek-projek jangka panjang dan sederhana adalah seperti berikut :-

    1. Projek pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang dan kawasan sekitarnya;
    2. Penstrukturan dan penyusunan semula industri perkhidmatan air negeri;
    • Projek pembaharuan bandar;
    1. Pembangunan semula projek-projek terbengkalai;
    2. Perluasan dan penyusunan rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam;
    3. Program melipatgandakan hasil padi.

    Pakej Rangsangan Ekonomi ini berperanan untuk meningkatkan ekonomi Negeri Selangor dengan pertambahan pelaburan dari dalam dan luar negara, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan pelaksanaan pengurusan sumber dengan lebih berkesan agar impak dan keberkesanan pelan perancangan yang telah dibentuk tercapai. Kerajaan Negeri telah menyasarkan kemasukan pelaburan bernilai lebih RM50 billion dengan mewujudkan 150,000 peluang pekerjaan dari setahun ke setahun.

     

    Melalui usaha yang digarapkan di dalam Projek Pemulihan dan Pembangunan Sungai Klang, Kerajaan Negeri begitu optimis dengan usaha ini agar visi pembersihan dan pengindahannya mampu membina persekitaran pembangunan yang mapan dan baik untuk rakyat. Pada ketika ini, Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan telah melaksanakan penilaian bagi mengenal pasti inventori guna tanah Sungai Klang dan pelaksanaan gazet simpanan sungai sebanyak 50meter di kedua-dua sisi sungai tersebut. Beberapa syarikat telah di senarai pendek bagi kerjakerja pemulihan dan pembangunan Sungai Klang kini dalam peringkat penelitian terperinci tentang keperluan yang perlu dipatuhi. Kerajaan Negeri kelak akan memastikan pelaksanaan pembangunan ini seiring dengan Pelan Induk Pembangunan Projek Pemulihan Sungai Klang yang kini sedang dalam proses penggubalan.

    Seterusnya, menerusi usaha penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri pula, dari semasa ke semasa Kerajaan Negeri sentiasa melaksanakan perundingan bersama pihak Kerajaan Persekutuan agar penstrukturan tersebut memberikan perkhidmatan dan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak. Kerajaan Negeri telah menyasarkan perkhidmatan industri air negeri Selangor dipantau dan di kawal selia oleh pihak Kerajaan Negeri sendiri. Hal ini adalah kerana Kerajaan Negeri berpendapat dengan kemampuan dan ketelusan pentadbiran kini, Kerajaan Negeri akan mampu meneruskan industri ni secara keseluruhannya dan semestinya usaha ini adalah agar konsep hak rakyat dikembalikan kepada rakyat dapat direalisasikan.

    Seterusnya, menerusi projek pembaharuan bandar pula, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa pusat bandar yang memerlukan pembaharuan dan perlu dihidupkan semula sama ada ianya adalah kerana ia bandar yang terpinggir mahupun bandar yang terlalu padat. Usaha Kerajaan ini adalah bagi memastikan pembangunan semula bandar-bandar ini ke arah kehidupan hijau yang seimbang untuk keselesaan dan kedamaian masyarakat dalam jangka masa panjang. Pembaharuan yang dijalankan kini merangkumi 3 bentuk dengan fokus yang berbeza. Pertama, pembaharuan dengan pembangunan semula, iaitu memusnahkan yang lama dan membina yang baru. Kedua, pembaharuan segenerasi iaitu kombinasi unik baru dan lama dan yang ketiga iaitu pemulihan semula iaitu dengan memberikan fungsi baru kepada yang lama. Kawasankawasan yang telah dikenal pasti bagi melaksanakan projek ini adalah Petaling Jaya, Klang dan Kajang. Sebagai peneraju projek ini, Kerajaan Negeri telah menumpukan perhatian kepada pembaharuan Petaling Jaya kerana ia menjadi tumpuan utama dan berada di dalam pembangunan bandar yang terlalu padat.

    Seterusnya, Kerajaan Negeri telah memberikan tumpuan kepada program pemulihan projek-projek terbengkalai. Kerajaan Negeri telah mengenal pasti lebih daripada 140 projek terbengkalai di dalam negeri ini dengan melibatkan 45,449 unit rumah. Kerajaan Negeri percaya dengan pemulihan projek-projek terbengkalai ini, bukan sahaja membela hak dan membantu seramai 48,360 pembeli-pembeli iaitu rakyat yang sama-sama terheret di dalam masalah pemaju-pemaju yang tidak bertanggungjawab, malah usaha ini sudah semestinya akan mampu membuka peluang-peluang pekerjaan yang baru dan seterusnya memacu industri pembinaan di negeri ini. Kerajaan Negeri telah membentuk Badan Bertindak Projek Terbengkalai bagi membantu mengambil alih projek-projek perumahan yang bermasalah ini. Pada ketika ini, 14 buah projek tela disemak dan sedang disiapkan dan antaranya adalah projek Alam Perdana dan Alam Mutiara di Kuala Selangor, Bukit Botak di selayang dan Villaria, PJS 5 Petaling Jaya.

    Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat akan keperluan asas rakyat negeri ini. Penumpuan bukan sahaja diberikan kepada keperluan perumahan dan keperluan air sahaja, malah Kerajaan Negeri telah meletakkan tumpuan jua kepada perluasan dan penyusunan semual rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam. Kerajaan Negeri telah menyasarkan sebagai sebuah negeri yang laluan trafiknya lancar dengan peningkatan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 60% merangkumi perkhidmatan bas awam dan kereta api laju. Usaha ini dilaksanakan bersama-sama pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam bagi meningkatkan kolaborasi di peringkat domestik dan peringkat Kerajaan Persekutuan. Dengan sistem pengangkutan yang lancar, Kerajaan Negeri percaya bahawa usaha ini akan dapat meningkatkan taraf ekonomi, sosial dan pembangunan alam sekitar di negeri ini.

    Projek yang terakhir yang disenaraikan di dalam Pakej Rangsangan Ekonomi ini adalah program melipatgandakan hasil padi. Ini adalah salah satu program jangka sederhana oleh pihak Kerajaan Pakatan Rakyat di mana penumpuan khas ini diberikan kepada para petani di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri pasti akan kemampuan dan sumbangan sektor pertanian di dalam pendapatan negeri amat besar. Sektor pertanian masih mampu merekodkan peningkatan sumbangan di dalam pendapatan negeri walaupun ketika ekonomi dunia mengalami kejatuhan. Oleh yang demikian, usaha ini jelas bukan sahaja demi memperkukuhkan teras ekonomi negeri ini, malah ia jelas memperlihatkan usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan pendapatan pengusaha sawah padi dan sekali gus membimbing para petani ini bergerak ke arah pertanian yang berteknologi tinggi.

    Projek perintis kini sedang dilaksanakan di kawasan Sabak Bernam dan Kuala Selangor. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bajet bagi pelaksanaan latihan, teknikal dan program motivasi bagi para pengusaha sawah yang ada. Projek ini dijangkakan akan mampu meningkatkan hasil keluaran sebanyak 7.5 tah per hektar daripada 4.5 tan per hektar pada masa dahulu. Peningkatan ini sekali gus akan mencacatkan peningkatan pendapatan pesawah daripada RM14,475 per kapita kepada RM20,475 per kapita.

Lampiran

Tiada Lampiran.