Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

294) PANTAI REMIS, SUNGAI SEMBILANG, JERAM

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pantai Remis di Kampung Sungai Sembilang Jeram telah mengalami hakisan pantai yang teruk. Apakah langkah-langkah yang sudah diambil bagi menangani masalah hakisan ini bagi memastikan Pantai Remis kekal sebagai pusat riadah dan produk pelancong?

    LUAS telah menghasilkan satu Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (Integrated Coastal Management – ICM) bagi Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang telah diwartakan pada 11 April 2013. Melalui Pelan ICM tersebut, terdapat beberapa sub-komponen seperti Pelan Strategi Pantai, Pelan Pengezonan Guna Pantai Bersepadu (Integrated Coastal Use Zoning Plan – ICUZP) dan Kajian Awalan Risiko yang akan menjadi rujukan sepanjang pelaksanaan Pelan ICM tersebut.

    Di dalam Pelan Strategi Pantai bagi kedua-dua daerah, terdapat 6 isu utama yang akan diberi perhatian oleh semua pihak berkepentingan seperti berikut:

    • Pencemaran Air;
    • Sisa Pepejal;
    • Kemusnahan Habitat;
    • Kesihatan;
    • Eksploitasi Berlebihan Sumber Semulajadi Marin; dan
    • Hakisan dan Sedimentasi

    Pelan tindakan dan strategi-strategi telah dihasilkan berdasarkan isu-isu di atas melalui sesi perbincangan konsensus bersama pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan penduduk setempat. Masalah hakisan yang berlaku di kawasan tersebut juga telah dibincangkan di dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Pengarah LUAS pada 15 Januari 2014 dan turut dihadiri oleh wakil JPS Ibu Pejabat, Pejabat Daerah dan Tanah (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang), wakil MDSB, MDKS, MPK dan MDKL serta JPBD Negeri Selangor. Tindakan susulan akan diambil oleh agensi berkaitan selaras dengan Pelan Strategi Pantai yang telah dihasilkan melalui Pelan ICM Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Pihak JPS Malaysia juga akan menjalankan kajian semula hakisan pantai pada tahun 2014.

Lampiran

Tiada Lampiran.