Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

45) PAPAN IKLAN

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Edward Lee Poh Lin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Operator-operator papan iklan sedang bertanya, bila satu dasar untuk seluruh negeri yang adil akan dilaksanakan?

    Merujuk kepada soalan 45 (a) dan 45 (b), dimaklumkan bahawa Dasar Papan Iklan
    Negeri Selangor telah dibentangkan dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan
    Negeri yang bersidang pada 23 Julai 2008. lanjutan daripada itu, Pekeliling Setiausaha
    Kerajaan Negeri Selangor Bil.5/2008 bertajuk Dasar dan Garis Panduan Pembinaan
    Papan Iklan (Billboard) di Pihak Berkuasa Tempatan Negeri telah diedarkan dan mula
    berkuat kuasa pada 26 Ogos 2008.
    Seterusnya merujuk kepada soalan 45(c), Dasar yang telah ditetapkan adalah seperti
    berikut:
    1) Semua struktur papan iklan yang didirikan di atas tanah milik Lembaga Lebuh Raya
    Malaysia (LLM) dan rizab Persekutuan perlu mendapat kelulusan Kebenaran Merancang,
    kelulusan permit struktur lesen paparan iklan.
    2) Mana-mana struktur papan iklan yang didirikan di atas atau dinding bangunan perlu
    mendapat kelulusan Kebenaran Merancang dan kelulusan permit struktur.
    3) Bagi pembinaan struktur papan iklan baru di atas tanah rizab Kerajaan Negeri,
    Pentadbiran Tanah Daerah hanya dibenarkan meluluskan TOL kepada PBT sahaja. PBT
    boleh menyewakan tapak tersebut kepada syarikat pengiklanan untuk mendirikan struktur
    papan iklan atau membina sendiri papan iklan dan menyewa ruang iklan kepada syarikatsyarikat atau agensi lain.
    4) Bagi struktur papan iklan sedia ada yang boleh diputihkan, PBT diminta untuk mengenal
    pasti tapak struktur dan memohon TOL daripada Pentadbiran Tanah Daerah. Seterusnya
    PBT diminta berunding dengan pemilik struktur sedia ada supaya menyewa tapak struktur
    daripada PBT. Sekiranya pemilik struktur enggan berbuat demikian, PBT hendaklah
    mengeluarkan notis mengosongkan tapak atau merobohkan struktur tersebut dan tapak
    tersebut boleh ditawarkan kepada pengusaha papan iklan yang lain.
    5) Bagi pembinaan struktur papan iklan di atas tanah milik individu, rizab lebuh raya dan rizab
    jalan Persekutuan, pemilik struktur perlu memohon kebenaran merancang daripada PBT
    dan mendapat kelulusan lesen paparan iklan dan permit struktur daripada PBT.
    6) Kadar Bayaran sewa tanah ditentukan oleh PBT dengan kadar nilaian tidak kurang
    daripada tiga puluh (30) peratus daripada hasil pendapatan paparan iklan tersebut yang
    diperoleh oleh pemilik struktur.
    7) Pentadbiran Tanah Daerah tidak dibenarkan meluluskan permohonan untuk lanjutan atau
    memperbaharui TOL kepada syarikat pengiklan sedia ada. PBT hendaklah memohon
    TOL bagi tapak tersebut dan pemilik struktur perlu menyewa tapak tersebut daripada PBT.
    8) PBT dibenarkan melesenkan paparan iklan bagi struktur papan iklan sedia ada yang
    dikenal pasti untuk diputihkan sehingga proses permohonan TOL bagi tapak-tapak
    tersebut selesai. Bagi struktur papan iklan yang berada di lokasi yang tidak boleh
    diputihkan, PBT diminta memaklumkan kepada Pentadbiran Tanah Daerah untuk
    merobohkan struktur tersebut sekiranya pemilik struktur enggan merobohkannya selepas
    tamat notis.
    9) Semua perjanjian penswastaan/konsesi pembinaan papan iklan antara Kerajaan Negeri
    atau Pihak Berkuasa Tempatan dengan syarikat-syarikat pengiklanan tidak dilanjutkan
    selepas perjanjian tamat. PBT hendaklah memohon TOL bagi tapak-tapak tersebut
    selepas perjanjian tamat.

Lampiran

Tiada Lampiran.