Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

115) PARAS GARIS KEMISKINAN BUKAN MAKANAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. PGK Bukan Makanan terdiri daripada pakaian, perumahan, pengangkutan dan perbelanjaan lain adalah dikira berasaskan kepada penyiasatan perbelanjaan isi rumah. Selangor sebagai negeri maju dan menuju smart state, apakah PGK Bukan Makanan yang dicapai?

    Untuk makluman, pengukuran kemiskinan mutlak di Malaysia menggunakan pendekatan Cost of Basic Needs (CBN) iaitu keperluan minimum bagi sesebuah isi rumah perlu ditetapkan berdasarkan kepada kaedah dan pengukuran yang saintifik berdasarkan kepada keperluan dalam sesebuah negara. Keperluan minimum ini dikategorikan kepada  keperluan makanan dan bukan makanan.

    Dalam konteks Malaysia, keperluan minimum bagi item makanan yang digunakan dalam membentuk Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan ditentukan berdasarkan kepada penetapan nilai kalori yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Nilai kalori ini ditentukan berdasarkan kepada Panduan Diet Malaysia (PDM) 2020 dan Recommended Nutrient Intake (RNI) 2017. Manakala bagi penetapan keperluan minimum bagi item bukan makanan adalah ditentukan berdasarkan kepada kumpulan isi rumah terendah 20% (B20) dalam Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES). Kumpulan bukan makanan ini terdiri daripada pakaian, perumahan, pengangkutan dan barangan lain.

    Berdasarkan kepada metodologi di atas, purata PGK Makanan dan Bukan Makanan serta PGK keseluruhan bagi tahun 2019 untuk negeri Selangor adalah seperti di Jadual 1.

    Jadual 1: Purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan, Bukan Makanan dan PGK Selangor dan Malaysia, 2019

    NEGERI Purata PGK Makanan (RM) Purata PGK Bukan Makanan (RM) Purata PGK (RM)
    MALAYSIA 1,169 1,038 2,208
    Selangor 1,166 856 2,022

     

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    PENDAPATAN GARIS KEMISKINAN (PGK)

    Kaedah pengukuran kemiskinan mutlak  telah dilaksanakan sejak 1977 lagi dengan menggunakan pendekatan Kos Keperluan Asas. Melalui kaedah ini satu paras keperluan minimum yang dikenali sebagai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) telah ditetapkan.

    Nilai purata PGK 2019 nasional adalah RM2,208 sebulan bagi purata saiz isi rumah 3.9 orang. Secara umumnya, isi rumah yang berpendapatan di bawah nilai RM2,208 sebulan dikategorikan sebagai miskin mutlak.

    Nilai PGK ini terdiri daripada dua bahagian iaitu PGK makanan dan PGK bukan makanan. Komponen utama dalam pengiraan PGK makanan adalah melibatkan keperluan kuantiti (gram) item makanan berdasarkan kepada umur ahli isi rumah dan harga item makanan tersebut. Faktor umur memainkan peranan yang utama dalam penentuan pengambilan kalori bagi memastikan kehidupan yang sihat dan kekal aktif. Pengiraan PGK bukan makanan juga melibatkan pengiraan kuantiti penggunaan yang minimum di samping mengambil kira faktor harga barangan dan bilangan ahli isi rumah yang terlibat dalam sesebuah isi rumah.

    Metodologi PGK 2005 telah ditambah baik. Metodologi 2019  mengekalkan tiga komponen asas iaitu keperluan makanan dan bukan makanan serta ciri-ciri isi rumah. Walau bagaimanapun, elemen yang diambil kira dalam keperluan makanan dan bukan makanan ditambah baik untuk menggambarkan peningkatan kualiti dalam kehidupan. Bilangan kalori yang dianggap mencukupi pada tahun 2005, diubahsuai bukan sahaja kandungan kalori tetapi juga keperluan sajian bagi makanan yang lebih seimbang. Selain itu, corak perbelanjaan telah berbeza. Sebagai contoh kad prabayar dan kos pendidikan yang tidak termasuk dalam senarai barangan bukan makanan pada tahun 2005, hari ini merupakan keperluan asas.

    Berdasarkan metodologi PGK 2019, garis kemiskinan seluruh negara berjumlah RM2,208, berbanding dengan PGK 2016 yang mengguna pakai metodologi 2005 iaitu RM980. Kenaikan ini  disebabkan beberapa faktor seperti berikut:

    • Konsep PGK makanan yang berubah daripada keperluan ‘minimum’ kalori kepada keperluan ‘optimum minimum’ yang menunjukkan peningkatan kualiti item bakul makanan berdasarkan Piramid Makanan 2020;
    • bagi PGK bukan makanan pula, keperluan kumpulan B20 telah bertambah dari 106 kepada 146 item; dan perubahan pola perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa.

     

    Kajian semula PGK Malaysia dilaksanakan selaras dengan strategi yang dirangka dalam dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11).  Penambahbaikan ini dilaksanakan supaya nilai PGK yang baharu ini lebih menggambarkan corak penggunaan (consumption pattern) dan keperluan serta demografi semasa isi rumah.

    Nilai purata PGK makanan dan PGK mengikut negeri di Malaysia pada 2019 adalah seperti di Jadual 1.

    Jadual 1: Purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan, dan PGK mengikut Negeri, Malaysia, 2019

    NEGERI Purata Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan Purata Pendapatan Garis Kemiskinan
    MALAYSIA 1,169 2,208
    Johor 1,265 2,505
    Kedah 1,214 2,254
    Kelantan 1,181 2,139
    Melaka 1,279 2,375
    Negeri Sembilan 1,216 2,088
    Pahang 1,201 2,270
    Pulau Pinang 1,004 1,989
    Perak 1,102 2,077
    Perlis 1,133 1,967
    Selangor 1,166 2,022
    Terengganu 1,312 2,507
    Sabah 1,179 2,537
    Sarawak 1,096 2,131
    W.P. Kuala Lumpur 1,110 2,216
    W.P. Labuan 1,319 2,633
    W.P. Putrajaya 1,074 2,128

Lampiran

Tiada Lampiran.