Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

110) PARAS GARIS KEMISKINAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Selangor pernah menetapkan gaji minimum RM1,500 seisi keluarga sebulan. Ini menjadikan 30% rakyat Selangor di bawah paras garis kemiskinan. Apakah angka ini masih menjadi ukuran yang digunakan? Jika tidak kenapa ukuran ini gagal?

    Usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan membantu masyarakat meningkatkan tahap pendapatan, keadaan sosio ekonomi serta menganjak paradigma masyarakat untuk berhijrah keluar daripada kitaran kemiskinan.

    Berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 40/2016 bertarikh 7 Disember 2016, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor dikekalkan pada paras/ angka RM1,500.00 seisi rumah dan digunapakai oleh semua Jabatan/ Agensi di Negeri Selangor yang menyelaras dan melaksanakan program bantuan.

    Namun begitu, PGK tersebut dilihat kurang realistik memandangkan tahap perkembangan ekonomi Negeri Selangor yang jauh kehadapan berbanding negeri lain. Oleh yang demikian, satu Kajian Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor telah dibentangkan oleh Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kepada Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

    Antara hasil dapatan  kajian tersebut adalah median pendapatan bulanan isi rumah adalah RM3,300.00. Penyelidik UNISEL dan UTAR telah memilih pengiraan 60% median pendapatan bulanan isi rumah sebagai penentu utama PGK Selangor. Hasil 60% median pendapatan isi rumah Selangor merupakan adaptasi kaedah pengiraan PGK dari negara maju dan ianya selari dengan perkembangan ekonomi Selangor. Oleh itu, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Selangor yang disyorkan adalah berjumlah RM1,980.00 dan individu yang berada di bawah PGK adalah diklasifikasikan sebagai miskin.

    Walau bagaimanapun untuk makluman Yang Berhormat Hulu Kelang, Kerajaan Negeri masih lagi meneliti, mempertimbangkan dan mengkaji semula hasil dapatan kajian ini secara mikro dari pelbagai aspek termasuk kewangan, ekonomi, sosial dan politik bagi memastikan hasil kajian yang diperolehi adalah benar-benar menyeluruh, komprehensif, realistik dan bersesuaian untuk digunapakai di Negeri Selangor serta akhirnya dapat memastikan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri adalah tepat kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.