Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

78) PASARAYA BESAR

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri pernah menetapkan apa-apa garis panduan untuk mengawal pembinaan pasar raya besar di Selangor, khususnya di kawasan semi-bandar dan kawasan desa untuk melindungi kedai runcit kecil-kecilan?

    Pasar raya Besar adalah bermaksud penubuhan perniagaan runcit bersaiz besar yang beroperasi sebagai premis perniagaan yang mempunyai keluasan ruang lantai tidak kurang daripada 8,000 meter persegi. Pasar raya besar menjual semula pelbagai jenis barangan tanpa diubah bentuk dan dijual secara langsung kepada orang awam untuk kegunaan sendiri, isi rumah ataupun pertubuhan.

    Pada amnya, tidak ada dasar dan garis panduan khusus terhadap mengawal pembinaan pasar raya besar di Negeri Selangor. Pembinaan pasar raya besar adalah tertakluk kepada kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna seperti yang diputuskan oleh Jemaah Menteri yang bersidang pada 24hb April 2004. Pembinaan pasar raya besar perlu melalui permohonan kebenaran merancang dengan disertakan surat kelulusan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna.

    Walau bagaimanapun, pertimbangan kelulusan pembinaan pasar raya besar adalah merujuk kepada Manual Garis Panduan Dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor dan Garis Panduan Dan Piawaian Perancangan Hypermarket Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Semenanjung

    Malaysia.

    Antara faktor-faktor dan kaedah yang diguna pakai dalam pertimbangan untuk meluluskan pembinaan pasar raya besar adalah seperti berikut:

    1. Pembinaan setiap pasar raya besar hanya dibenarkan beroperasi dalam kawasan tadahan yang mempunyai 350,000 penduduk.
    2. Pembinaan bangunan hanya ’free standing’ dengan keluasan tapak sekurang-kurangnya 2 hektar dan ruang lantai tidak kurang daripada 8,000 meter persegi.
    3. Pembinaan pasar raya besar hanya dibenarkan di dalam zon perdagangan yang telah ditetapkan di dalam Rancangan Tempatan.
    4. Pasar raya besar hanya dibenarkan pada jarak tidak kurang daripada3.5 km dari kawasan perumahan dan pusat bandar terdekat.
    5. Sebelum pembinaan pasar raya besar dipertimbangkan, kajian impak mengenai perniagaan runcit setempat hendaklah dijalankan supaya peniaga kecil tidak terjejas.
    6. Kelebaran jalan utama adalah sekurang-kurangnya 66 kaki.
    7. Menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi iaitu 1 petak bagi 15 meter persegi dan tambahan 20% petak motosikal.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.