Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

35) PASUKAN RONDAAN KAMPUNG

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri memperlengkapkan pasukan rondaan kampung bertujuan menjaga keselamatan dan mencegah mungkar dengan sistem yang teratur (berjadual/terlatih), berkebajikan (elaun token) dan ada ciri keselamatan?

    Kerajaan Negeri memandang serius terhadap keselamatan penduduk kampung di Negeri Selangor. Sehubungan itu, pada tahun 2013 Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pelaksanaan Program Pasukan Kejiranan Kampung (PKK) di Kampung Tradisi, Kampung Baru/Tersusun/Bagan dan Komuniti India dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2,460,000.00.

    Pada tahun 2014, program ini telah diteruskan pelaksanaannya di 368 buah Kampung Tradisi yang melibatkan implikasi kos berjumlah RM1,840,000.00. Melalui program ini, setiap kampung telah diberikan peruntukan sebanyak RM5,000.00 bagi melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan kampung dengan lebih efektif dan cekap.

    Objektif utama penubuhan PKK di peringkat kampung ini adalah bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia untuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan luar bandar di Selangor. Di samping itu, penubuhan ini akan meningkatkan hubungan kerjasama dan perpaduan di kalangan penduduk kampung sendiri. Namun begitu, adalah menjadi peranan ahli-ahli JKKK sendiri di dalam menjaga keselamatan kampung supaya kehidupan masyarakat kampung diperkukuhkan. Dengan wujudnya PKK di peringkat kampung tradisi, keselamatan dan kesejahteraan kampung telah dapat dipertingkatkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.