Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

50) PEGAWAI KERAJAAN NEGERI YANG DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN, TATATERTIB DAN DIDAKWA DI MAHKAMAH

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Meminta kerajaan memberi bilangan kakitangan awam di bawah kerajaan negeri dan semua PBT yang telah dikenakan tindakan disiplin, tatatertib dan didakwa di mahkamah akibat perbuatan menyalahi undang-undang seperti rasuah dan sebagainya.

    Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selaku urus setia induk bagi memantau keseluruhan kes-kes tatatertib yang dilaporkan oleh Jabatan / Agensi di Negeri Selangor telah merekodkan sebanyak 201 kes tatatertib secara keseluruhannya bagi tempoh sepanjang tahun 2010 sehingga suku tahun kedua 2011 (1 Januari 2010 hingga 30 Jun 2011).

    Daripada jumlah keseluruhan kes yang telah direkodkan, pihak urus setia Bahagian Pengurusan Sumber Manusia mendapati kes ‘Ketidakhadiran Bertugas’ merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 118 kes (58.71 peratus), diikuti kes ‘Surcaj’ sebanyak 30 kes (14.93 peratus) dan kes ‘Gagal Mematuhi Waktu Bekerja’ serta ‘Pemalsuan Dokumen’ masing-masing sebanyak 10 kes (4.98 peratus). Seterusnya, kes ‘Pelanggaran Tatacara Kewangan’ merekodkan sebanyak 7 kes (3.48 peratus), kes “Keluar Negara Tanpa Kebenaran” sebanyak 4 kes (1.99 peratus), dan kes “Ingkar Perintah” serta kes “Salahguna Kuasa” kedua-duanya merekodkan 3 kes (1.49 peratus).

    Berhubung kes-kes pegawai/kakitangan kerajaan yang didakwa di mahkamah, kes “Rasuah” mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 6 kes (2.99 peratus), diikuti kes “Penyalahgunaan Dadah” sebanyak 5 kes (2.49 peratus) dan kes “Salahlaku Jenayah” lain, termasuk mencuri dan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, mencatatkan 5 kes (2.49 peratus).

    Pecahan peratus kes-kes tatatertib bagi tempoh 1 Januari 2010 sehingga 30 Jun 2011 diterjemahkan di Jadual 1:

    PERKARA   JUMLAH KES   PERATUS (%)
    Tidak Hadir Bertugas 118 58.71
    Surcaj 30 14.93
    Tidak Mematuhi Waktu Bekerja 10 4.98
    Pemalsuan Dokumen 10 4.98
    Pelanggaran Tatacara Kewangan 7 3.48
    Kes Rasuah 6 2.99
    Penyalahgunaan Dadah 5 2.49
    Salahlaku Jenayah 5 2.49
    Keluar Negara Tanpa Kebenaran 4 1.99
    Ingkar Perintah 3 1.49
    Salahguna Kuasa 3 1.49
    Jumlah 201 100

    Jadual 1 : Peratus Kes Tatatertib Jabatan / Agensi Pentadbiran Setiausaha    Kerajaan Negeri Selangor

    Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sentiasa peka dan memandang serius berhubung perkara ini dan sebagai langkah pencegahan, pentadbiran ini melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia menganjurkan Bengkel Pengurusan Tatatertib secara berkala iaitu sekurang-kurang dua (2) kali setahun bertujuan memberikan pemahaman sepenuhnya berkenaan pengurusan dan aspek perundangan dalam mengendalikan kes-kes tatatertib di Jabatan/Agensi masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.