Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

7) PEKERJA LADANG

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah perumahan yang dibina dalam kawasan ladang dan dibeli/dimiliki oleh pekerja ladang mengikut daerah di Selangor?

     

    a) dan b)

     

    Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang tidak menyimpan sebarang data berkenaan perumahan di kawasan ladang dan tiada dasar atau perancangan khusus untuk membantu mengatasi masalah  pemilikan rumah kediaman bagi bekas pekerja – pekerja ladang di Negeri Selangor. Namun begitu, di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah dan inisiatif dalam menangani masalah ini dengan melaksanakan beberapa siri lawatan dan turun padang ke ladang – ladang di seluruh Negeri Selangor bagi mendapatkan maklum balas, pandangan dan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja ladang berkenaan bagi membantu menjaga kebajikan pekerja ladang dan secara tidak langsung dapat meringankan beban yang dihadapi dari segi kewangan, pendidikan, sosial serta membantu dalam menyuarakan permasalahan yang dihadapi demi mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan manfaat kepada semua pihak.

     

    Hal ini dapat kita lihat apabila Kerajaan Negeri Selangor dibawah  Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah membantu para pekerja ladang dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka dengan membuat lawatan turun padang dari ladang ke ladang untuk mengetahui lebih lanjut dan mendalami permasalahan mereka. Di bawah portfolio Pekerja Ladang juga, kami telah mengadakan sesi perbincangan bersama majikan pekerja ladang dalam mengekalkan fasiliti sedia ada seperti tapak rumah ibadat serta sekolah-sekolah di kawasan estet sebagai kemudahan pekerja mereka itu sendiri.

    Kami amat menitik beratkan nasib pekerja ladang dalam mendapatkan kediaman yang selesa untuk mereka mendiami seperti contoh :

     

    • Ladang Bukit Rajah – Seramai 75 keluarga telah dibantu dalam memiliki rumah teres satu tingkat dengan harga diskaun di bawah portfolio Pekerja Ladang. Selain itu juga, Portfolio Pekerja Ladang telah membantu mereka untuk mendapatkan tapak kuil sebagai kemudahan kepada mereka

     

    • Ladang Bangi – Seramai 22 orang pekerja ladang telah dibantu bagi mendapatkan persetujuan oleh majikan mereka dalam membina rumah kos rendah dan kos ditanggung oleh majikan itu sendiri

     

    • Ladang Semenyih – Seramai 22 orang pekerja ladang telah mendapat manfaat berdasarkan perbincangan bersama majikan dan mereka bersetuju untuk membina 22 buah rumah kepada pekerja ladang serta memberikan tapak rumah ibadat

     

    • Ladang tumbok – Seramai 12 orang telah diberi bantuan untuk mendapatkan rumah

     

    • Ladang Inch Canon / Dunedin – Seramai 22 keluarga telah dibantu bagi mendapatkan rumah serta tapak rumah ibadat untuk mendirikan kuil dan gereja.

     

    • Ladang Dusun Durian – Seramai 107 keluarga sedang dibantu bagi mendapatkan tanah seluas 3 ekar sebagai penempatan

     

    • Ladang Elmina East – Perbincangan dengan pemaju telah diadakan untuk menyediakan rumah kos rendah dengan harga munasabah dan tapak rumah ibadat kepada 16

     

    Portfolio Pekerja Ladang masih meneruskan perbincangan sebegini demi memastikan hak dan kebajikan pekerja ladang dijaga. Dengan cara begini, boleh dikatakan satu pencapaian yang agak besar oleh Kerajaan Negeri di bawah Portfolio Pekerja Ladang dengan menunjukkan peningkatan terhadap jumlah pekerja ladang yang dibantu dari tahun-tahun sebelum ini. Ini adalah salah satu kejayaan Kerajaan Negeri dalam memberikan bantuankepada para penduduk ladang. Hal ini boleh dianggap sebagai satu kejayaan di bawah portfolio Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang dalam membantu mengatasi masalah pemilikan dan rumah kediaman yang dihadapi oleh pekerja ladang secara tidak langsung. Kerajaan Negeri Selangor amat menitikberatkan nasib bekas pekerja ladang kerana golongan ini dianggap terpinggir dan tumpuan lebih harus diberikan kepada mereka dalam memastikan kebajikan mereka dijaga.

     

    Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang sedar dan peka akan keperluan memiliki kediaman sendiri dikalangan pekerja ladang disebabkan oleh peningkatan harga rumah pada masa kini yang tidak mampu dimiliki oleh sebahagian besar pekerja ladang. Kediaman yang diduduki oleh pekerja ladang adalah hakmilik ladang tersebut. Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa terhadap tanah hak milik persendirian.

     

    Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Kerajaan Prihatin telah memberi peluang kepada semua rakyat di Negeri Selangor yang mempunyai tanah di atas nama sendiri (dibuktikan melalui geran tanah) untuk memiliki sebuah rumah bantuan dengan syarat rumah asal yang diduduki telah rosak dan tidak selamat untuk diduduki. Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin ini adalah terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor dan termasuklah kepada pekerja ladang dengan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.