Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

129) PELAKSANAAN IBADAH

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang dibuat Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan ibadah yang timbul sepanjang penularan Covid-19 ini?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dan peka terhadap kebajikan masyarakat yang ingin menjalankan aktiviti ibadah di rumah-rumah ibadat. Antara usaha yang diambil bagi menyelesaikan isu pelaksanaan ibadah yang timbul sepanjang penularan Covid-19 di rumah-rumah ibadat Islam seperti Masjid dan Surau adalah dengan menghadkan bilangan jemaah dalam mendirikan Solat Fardhu Berjemaah, Solat Fardhu Jumaat dan menangguhkan aktiviti-aktiviti pengimarahan yang lain. Solat Fardhu hanya dibenarkan untuk didirikan oleh pegawai yang ditugaskan sahaja untuk hadir ke masjid dan surau bermula dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB-1) dan (PKPB-2) dikuatkuasakan.

    Selain itu, langkah mengoperasikan semula masjid dan surau secara berperingkat telah dijalankan bermula Solat Fardhu Jumaat dan Isyak, Maghrib dan Subuh berjemaah bermula dari 12 orang, kemudian ditambah kepada 40 orang, 150 orang dan 500 orang sehingga ke kapasiti penuh masjid dan dan surau selepas penjarakan 1.5 meter.

    Operasi masjid dan surau juga telah ditanggguhkan bagi tempoh tertentu sekiranya terdapat jemaah yang mempunyai kontak rapat dengan individu lain yang didapati positif Covid-19 atau terdapat jemaah yang didapati positif Covid-19 selepas ujian dijalankan.

    Selain itu juga, proses pencegahan (sanitasi berkala) dijalankan di semua masjid dan surau.

    Kerajaan Negeri juga menguatkuasakan titah D.Y.M.M. Sultan Selangor dengan membuat pemantauan berkala pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi rakan strategik yang lain seperti Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain-lain lagi.

    Bagi Majlis-majlis ilmu, pelaksanaan majlis-majlis ilmu telah digalakkan untuk dilaksanakan secara langsung (live) di Media Elektronik atau media sosial sediada yang lain oleh para penceramah dan pembimbing dari rumah masing-masing untuk perkongsian ahli jemaah sepanjang tempoh PKP/ PKPB.

    Bagi aktiviti ibadah di rumah-rumah ibadat selain Islam, satu Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kebenaran pembukaan semula Rumah Ibadat Selain Islam kepada orang awam telah dirangka oleh Selangor Task Force Covid-19 (STFC) pada Jun 2020 yang lalu dan SOP ini telah dibentangkan pada satu taklimat yang diadakan pada 18 Jun 2020 dan dihadiri oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ketua-ketua persatuan agama induk, jabatan-jabatan yang berkaitan serta pengamal media. Sebagai tambahan, SOP ini juga telah diedarkan kepada agensi di bawah Kerajaan Persekutuan iaitu Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Negeri Selangor (JPNIN), Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor (MKN Selangor) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor (Polis Diraja Malaysia) pada 30 Jun 2020 yang lalu.

    SOP ini telah menetapkan kebenaran untuk hadir ke Rumah Ibadat Selain Islam dengan mengambil kira pengelasan peringkat umur serta tahap Kesihatan bagi individu yang dibenarkan hadir ke rumah ibadat. Selain itu, persiapan dari segi logistik dan kehadiran maksimum juga diambil kira di dalam SOP tersebut. Setiap rumah ibadat perlu mempunyai pegawai yang bertanggungjawab menjaga logistik dan mengawal arah laluan serta penjarakan sosial tempat duduk.

    Selain itu juga, SOP tersebut telah menetapkan aktiviti-aktiviti yang dibenarkan dan dilarang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini berjalan. Ketetapan dan SOP di peringkat negeri adalah tertakluk kepada SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara di peringkat persekutuan.

    Rumah-rumah ibadat selain Islam juga disarankan untuk membuat penjejakan kontak melalui sistem SELangkah. Kod QR SELangkah ini perlu diletakkan di pintu masuk dan keluar yang mana akan membantu memudahkan penjejakan kontak sekiranya terdapat jangkitan Covid-19 di sesuatu lokaliti.

    Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi-agensi penguatkuasaan terus menjalankan pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan di kawasan rumah-rumah ibadat selain Islam.

Lampiran

Tiada Lampiran.