Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

93) PELAKSANAAN PELAN INDUK PENGANGKUTAN AWAM (PIPANS)

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. PIPANS dihasilkan bagi mengatasi masalah trafik di kawasan awam. Walaubagaimanapun, perlaksanaannya bergantung pada ketersediaan dana. Apakah Kerajaan Negeri akan kaji semula sekiranya pelan tersebut sudah dirangka bertahun-tahun dan terdapat kemungkinan penemuan di dalam tidak bersesuaian lagi?

    Kerajaan Negeri telah menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS) sebagai dokumen asas kepada semua agensi Kerajaan dan swasta di Negeri Selangor dalam perancangan menyeluruh ke arah mewujudkan sistem pengangkutan awam yang komprehensif. Inisiatif Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kajian PIPANS adalah bagi memberikan lakaran dan alternatif baru jajaran dan jalinan pengangkutan awam supaya Kerajaan Negeri dapat merangka sistem pengangkutan awam yang menepati keadaan semasa dan kehendak rakyat Negeri Selangor.

    Penyediaan PIPANS turut mengenalpasti  sistem pengangkutan awam menggunakan landasan yang terdiri daripada 12 cadangan koridor laluan pengangkutan awam yang mempunyai laluan paling optimum untuk Negeri Selangor yang secara tidak langsung dapat mengatasi masalah trafik di kawasan awam.. Namun begitu, pelaksanaannya memerlukan penglibatan daripada pelbagai pihak terutama agensi pelaksana pengangkutan berkaitan khususnya di peringkat Kerajaan Persekutuan.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telahpun menyenaraikan cadangan 12 koridor tersebut di dalam Rancangan Malaysia ke-12 semasa Sesi Libat Urus bersama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang diadakan pada 9 Ogos 2019 untuk dipertimbangkan. Namun, sekiranya terdapat kemungkinan pelan ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya mahupun tidak lagi bersesuaian pada masa akan datang, Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Yang Berhormat untuk melihat semula dan memperbaiki pelan sedia ada berdasarkan situasi dan pembangunan semasa.

    MAKLUMAT TAMBAHAN:

    Anggaran Kos bagi 12 koridor yang dikenalpasti : RM64.8 billion (anggaran pada tahun kajian dijalankan)

     

    12 Koridor yang dikenalpasti :

    • 2 jajaran Komuter
    • 8 jajaran MRT dan LRT
    • 2 jajaran baru
    • 6 jajaran sedia ada untuk dipanjang atau diperluaskan
    • 2 jajaran BRT

     

Lampiran

Tiada Lampiran.