Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

3) PELAKSANAAN PROJEK-PROJEK MEGA DALAM NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri akan meneruskan projek-projek mega dalam Negeri Selangor walaupun suasana semasa amat mendesak kepada keperluan kewangan perlu diberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan rakyat? Jika ya, sila jelaskan rasionalisasinya.

    Penularan Wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan telah memberikan kesan terhadap pelaksanaan projek pembangunan terutamanya di Negeri Selangor. Secara umumnya pelaksanaan projek-projek pembangunan ini tertangguh di dalam tempoh PKP ini kerana tiada aktiviti ekonomi dibenarkan bagi semua sektor dalam tempoh tersebut. Walau bagaimanapun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Kerajaan Negeri telah mula memberi kebenaran untuk sektor-sektor tertentu beroperasi, ini termasuklah sektor pembinaan.

    Bagi projek-projek pembangunan sama ada projek berskala kecil mahupun berskala besar atau dipanggil projek mega yang dalam fasa pelaksanaan, ianya akan diteruskan. Ini adalah kerana pelaksanaan projek-projek ini akan dapat menyuntik ke arah peningkatan ekonomi Negeri Selangor.

    Seperti yang kita sedia maklum, pelaksanaan PKP telah menyebabkan berlakunya kemelesetan ekonomi susulan daripada aktiviti-aktiviti penjanaan ekonomi tidak dapat dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut. Malah terdapat perniagaan yang terpaksa membuang pekerja ataupun ditutup kerana tidak dapat beroperasi secara maksimum. Jika pelaksanaan projek-projek pembangunan ini ditangguhkan, dikhuatiri ianya akan memburukkan lagi keadaan ekonomi semasa akibat tiadanya aktiviti-aktiviti atau kegiatan-kegiatan ekonomi yang menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor.

    Tidak dinafikan dalam keadaan sekarang, keutamaan perlu diberikan kepada keselamatan dan kesihatan rakyat, tapi kedudukan ekonomi Negeri Selangor juga perlu dipertahankan daripada terus merudum yang mana akan mengambil masa yang lama untuk dibangunkan semula. Aspek keselamatan dan kesihatan rakyat pada masa yang sama akan terus diberi perhatian dan akan terus dibantu melalui Pakej Rangsangan Ekonomi yang akan diumumkan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan yang akan ditentukan oleh Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.