Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

172) PELAN INDUK PENGANGKUTAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Selangor sehingga kini?

    Kerajaan Negeri menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS) sebagai dokumen asas kepada semua agensi Kerajaan dan swasta di Negeri Selangor dalam perancangan menyeluruh ke arah mewujudkan sistem pengangkutan awam yang komprehensif. Pelan ini memberikan lakaran dan alternatif baru jajaran dan jalinan pengangkutan awam supaya Kerajaan Negeri dapat merangka sistem pengangkutan awam yang menepati keadaan semasa dan keperluan rakyat Negeri Selangor.

    Pelaksanaan PIPANS memerlukan penglibatan daripada pelbagai pihak terutama agensi pelaksana pengangkutan berkaitan khususnya di peringkat Kerajaan Persekutuan. Penyelarasan di peringkat semua pihak amat diperlukan dalam perancangan pembangunan supaya pelan ini dapat diintegrasikan ke dalam pelan-pelan agensi sedia ada dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian dengan nisbah 60:40.

     

    Bagi memastikan cadangan-cadangan di dalam Pelan Induk ini dapat dilaksanakan, Kerajaan Negeri telahpun mengadakan sesi perbincangan bersama pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD yang kini dikenali sebagai APAD) supaya mengambilkira dan mengintegrasikan penemuan dan cadangan PIPANS ke dalam pelan induk APAD. Sebarang permohonan dan perancangan baru pengangkutan awam sama ada melalui agensi Kerajaan atau swasta juga disarankan untuk mengambilkira cadangan Pelan Induk ini. Di peringkat Kerajaan Tempatan pula, Pelan Induk ini perlu diselaraskan dengan Rancangan Tempatan (RT) yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Ianya perlu dijadikan sebagai Blueprint dan sumber rujukan kepada semua pihak yang terlibat dalam sebarang perancangan melibatkan pembangunan projek pengangkutan awam di Negeri Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telahpun menyenaraikan cadangan 12 koridor tersebut di dalam Rancangan Malaysia ke-12 semasa Sesi Libat Urus bersama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang diadakan pada 9 Ogos 2019 untuk dipertimbangkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.