Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

83) PELAN INDUK SUMBER AIR NEGERI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah objektif, kerangka dan mekanisme utama di dalam pembangunan Pelan Induk Sumber Air Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor menyediakan Pelan Induk Sumber Air Negeri Selangor bagi tujuan rangka kerja strategik untuk sumber-sumber air mentah baik yang baru dikenal pasti atau pun air mentah sedia ada untuk menampung permintaan terhadap air mentah yang semakin meningkat. Pelan Induk ini menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil antara lainnya seperti berikut:-

    • Mengenal pasti, menilai dan mengesyorkan sumber bekalan air baru yang berpotensi untuk dibangunkan selaras untuk memenuhi permintaan bekalan air akan datang di dalam Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan memberi tumpuan utama terhadap kawasan atau daerah yang berhadapan dengan kekurangan air (water stress) seperti Klang, Gombak, Hulu Langat dan Kuala Lumpur dalam usaha untuk memenuhi permintaan air masa hadapan yang dijangka akan berlaku peningkatan permintaan dari 5500 JLH pada tahun 2016 kepada 8612 JLH pada tahun 2065 setelah mengambil kira margin simpanan air pada kadar 15%.

     

    • mengenal pasti sumber-sumber air mentah baru supaya Kerajaan Negeri boleh menguntukkan (earmark) mana-mana tapak yang bersesuaian untuk dibangunkan bagi Projek Bekalan Air masa hadapan, dengan ini kos pengambilan balik tanah dapat dijimatkan, antara sumber air baru yang dikenal pasti untuk dibangunkan adalah seperti berikut:-

     

    Bil Sumber Air baru yang dikenal pasti Tahun Operasi Dicadangkan
    1 Labohan Dagang Fasa 2 2022
    2 Skim Rasau 2025
    3 Langat 2 Fasa 2 2035
    4 HORAS 3000 2060

     

    • kebersediaan semua pihak dalam menerapkan perubahan minda dan anjakan paradigma berkaitan dengan persekitaran dan sumber air bagi memastikan kualiti air yang baik dan berhadapan dengan fenomena perubahan cuaca;

     

    • merealisasikan matlamat untuk mengujudkan sistem agihan inter connection di mana melalui inter connection ini, sekiranya berlaku henti tugas mana- mana loji, maka ia tidak menjejaskan pembekalan kepada pengguna sebaliknya pembekalan kepada loji yang henti tugas tadi boleh ditampung oleh loji rawatan air yang lain; dan

     

    • menumpukan Pembangunan sumber air baru terutamanya di hiliran sungai boleh memberi kesan kepada budaya rakyat dalam mengamalkan sikap tidak membazir kepada sumber air sedia ada dan pada masa yang sama memupuk semangat cintakan alam sekitar di mana rakyat akan menjadi lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan sungai-sungai yang merupakan sebahagian dari sumber air

    Pelan Induk ini akan disokong dengan dasar, strategi dan pelan tindakan yang dapat untuk memberi jaminan kepada kecukupan sumber air mentah dan membantu pihak yang berkepentingan dalam membuat perancangan dan pelaburan dalam pembangunan sumber air mentah supaya sumber air mentah dapat diuruskan secara mampan dan memastikan pengekalan (sustainability) kualiti dan kuantiti air secara jangka masa panjang sehingga tahun 2065.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.