Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

56) PELAN JANGKA MASA PANJANG DAN PENDEK AKIBAT PERINTAH KAWAL PERGERAKAN (PKP)

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pelan perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk membantu rakyat di Negeri Selangor yang terjejas mata pencariannya akibat daripada perintah kawalan pergerakan seperti dibuang kerja?

    Izinkan saya untuk menjawab bersekali soalan-soalan yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pelabuhan Klang (no.56) , Yang Berhormat Sungai Burong (no.225), Yang Berhormat Rawang (no. 273), Yang Berhormat Bukit Lanjan (no. 246) dan Yang Berhormat Sungai Panjang (no. 219) berhubung langkah-langkah dan rancangan Kerajaan Negeri untuk pemulihan ekonomi Negeri Selangor.

    Penularan COVID-19 ini ternyata telah menjadi krisis kesihatan global yang melanda seluruh dunia. Bagi menangani penularan wabak ini daripada berterusan, kerajaan dan kakitangan barisan hadapan berganding bahu dalam membentuk strategi yang efektif dan berkesan. Sementara itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan mengehadkan perjalanan orang ramai dengan mengenakan penutupan penuh dan perbatasan antarabangsa merupakan salah satu langkah terbaik bagi membendung jangkitan ini. Alhamdulillah pelaksanaannya telah terbukti berkesan dan menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Sesungguhnya kita sebenarnya tidak punya pilihan, kita wajib memastikan usaha membendung atau ikhtiar melandaikan keluk penularan COVID-19 berjaya.

    Namun begitu, PKP yang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak ini telah memberi implikasi kepada kesihatan ekonomi di dalam negara Malaysia dan negeri Selangor. Aktiviti pengeluaran terganggu kerana kegagalan mendapatkan input barangan perantaraan dari China, malah gangguan yang lebih serius adalah kerana penutupan atau pengurangan operasi berpunca dari PKP. Dalam pada itu, kegagalan untuk memperoleh input perantaraan dari EU dan Amerika Syarikat turut berlaku apabila mereka turut melaksanakan lockdown. PKP juga mengakibatkan sesetengah golongan pekerja kehilangan pendapatan. Antara lain, aktiviti perdagangan kecil-kecilan terbantut, pekerja kontrak kehilangan pendapatan dan pelbagai lagi kekangan terhadap aktiviti ekonomi yang memberi kesan kepada pendapatan individu. Penurunan pendapatan individu diterjemah secara langsung kepada penurunan penggunaan swasta di dalam ekonomi domestik yang merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi terpenting sejak kebelakangan ini.

    Menyedari kepayahan yang dialami oleh pelbagai pihak dan bagi mengurangkan beban kehidupan dan kesulitan ekonomi, Kerajaan Negeri telah menyediakan pakej rangsangan yang dikenali sebagai Pakej Selangor Prihatin. Pakej Selangor Prihatin Fasa Pertama telah dibentangkan pada 20 Mac 2020 manakala Selangor Prihatin Fasa Kedua dibentangkan pada 1 April 2020 bertujuan untuk memangkin ikhtiar membendung penularan COVID-19 dan menyerap impak sosio-ekonomi penularan wabak tersebut.

    Sejumlah RM127.8 juta diperuntukkan bagi Selangor Prihatin Fasa Pertama membabitkan tujuh inisiatif manakala Selangor Prihatin Fasa Kedua pula melibatkan peruntukan sebanyak RM272.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM400 juta. Walau bagaimanapun, perhatian utama pihak Kerajaan Negeri dari segi pelan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 adalah untuk memastikan ekonomi berfungsi menghadapi kejutan permintaan dan penawaran. Realitinya, pakej rangsangan yang diwujudkan oleh kerajaan pusat serta disokong oleh pakej Selangor Prihatin ini hanya memadai untuk menangani kesan jangka pendek sesuai dengan objektif pakej rangsangan iaitu untuk mencipta permintaan sambil memastikan penawaran yang mencukupi.

    Oleh itu, bagi memastikan kesediaan untuk jangka masa panjang Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan melantik perunding Econsult Consultancy and Training bagi melihat keseriusan impak kepada sektor ekonomi di negeri Selangor dan merangka langkah-langkah bagi mengatasi serta memacu semula pertumbuhan ekonomi. Hasil kajian yang telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 2 Jun 2020 yang lalu menggariskan beberapa strategi jangka panjang yang perlu diterapkan di dalam pelan tindakan pembangunan ekonomi Negeri Selangor berdasarkan empat (4) teras asas iaitu:

    • Teras Pertama : Membangunkan industri teras untuk pertumbuhan;
    • Teras Kedua : Peningkatan produktiviti;
    • Teras Ketiga : Menyediakan peluang pekerjaan; dan
    • Teras Keempat :  Membangunkan rantaian industri dengan memperkasa PKS

     

    Berdasarkan kepada keempat-empat teras ini, penyusunan semula strategi untuk pemulihan ekonomi bagi memastikan pertumbuhan yang mampan untuk Negeri Selangor adalah seperti berikut:

     

    Pertama :  Mentransformasikan “Sectoral Island” kepada sebuah ekonomi yang kompleks

    Sepertimana semua sedia maklum, Kerajaan Negeri telah memutuskan pendekatan melalui inisiatif Klusterisasi Negeri Selangor untuk menjana pertumbuhan ekonomi seperti yang dibentangkan di dalam Belanjawan Negeri Selangor 2019. Sembilan (9) kluster ini dilihat mampu menjadi ‘game changer’ untuk pembangunan ekonomi negeri. Walau bagaimanapun, pendekatan ini tidak mampu memaksimumkan penggunaan sumber ekonomi serta tidak berupaya meraih manfaat jika tiada interaksi antara sektor. Interaksi ini mampu menerbitkan aktiviti ekonomi baharu yang tidak difikirkan sebelumnya dan dasar kerajaan yang mampu menggalakkan interaksi ini dijangka akan menyediakan asas yang kukuh untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Penciptaan dasar strategik yang berjaya dan boleh dilaksanakan akan melihat kesemua aktiviti ekonomi sebagai suatu spektrum aktiviti yang kompleks dan saling berkaitan. Sebuah ekonomi yang kompleks mempunyai lebih ruang untuk pembangunan, berbanding sebuah ekonomi yang dipenuhi oleh pulau-pulau sektor.

    Kedua : Membangunkan industri sebagai sumber pertumbuhan

    Pemilihan industri asas penjanaan ekonomi di dalam setiap kluster perlu meliputi keseluruhan spektrum rantaian nilai supaya kompleksiti ekonomi dapat ditingkatkan dan nilai tambah terhadap ekonomi dapat dimaksimumkan. Ianya bertepatan dengan teras pertama yakni membangunkan industri untuk sumber pertumbuhan. Dari sudut kerajaan, penggubalan dasar sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri yang lebih komprehensif dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

    Ketiga : Mewujudkan Nukleus Pemangkin (Nucleus Catalyst)

    Pemilihan satu kluster khusus untuk mewujudkan nukleus pemangkin yang akan melimpahkan aktiviti (spill-over) kepada kluster yang lain melalui rantaian bekalan bersepadu adalah amat penting. Dengan mengenalpasti sebuah kluster pemangkin, ianya berpotensi untuk mencetuskan aktiviti ekonomi yang baru dan seterusnya menghasilkan pekerjaan dan mendorong kepada peningkatan produktiviti.

    Keempat : Penubuhan sebuah entiti sebagai fasilitator

    Salah satu cabaran di dalam merealisasikan strategi yang dirancang dengan baik adalah dari segi pelaksanaannya. Untuk memastikan pelaksanaan yang efektif dan sumber digunakan secara optimum, sebuah entiti perlu dibentuk agar memudahkan pelaksanaan strategi. Fungsi utama entiti adalah untuk mengenalpasti secara berterusan industri dan aktiviti yang akan ditumpukan. Ini bermakna elemen kedinamikan industri dan pasaran perlu diterapkan di dalam strategi pembangunan.  Segala perubahan yang berlaku ke atas industri dan pasaran perlu diberi perhatian. Entiti tersebut dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti kedinamikan tersebut melalui penyelidikan dan pembangunan serta latihan. Entiti ini perlu bertindak sebagai sebuah pusat pengumpulan dan penganalisis maklumat yang relevan untuk tugas utamanya, pengenalpastian berterusan industri berpotensi, menghubungkan industri dalam dan luar kluster khususnya untuk mewujudkan peluang pekerjaan serta mendorong kepada peningkatan produktiviti. Entiti ini juga akan menyediakan platform untuk melatih kakitangan kerajaan negeri yang berkaitan dalam memahami dan melaksanakan aktiviti ekonomi yang telah dikenalpasti. Akhirnya, entiti ini juga perlu menjadi platform untuk latihan kepada bakal usahawan supaya mereka dilengkapi dengan  pemikiran yang relevan,  maklumat,  kemahiran, dan pengetahuan tentang menjalankan aktiviti berkenaan.

     

    Ringkasnya, keempat-empat pelan tindakan ini melibatkan pentransformasian masalah kepada peluang. Penyelesaian masalah yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19 berpaksikan jangka pendek dan berupa penyelesaian sementara yang tidak mampan serta menunjukkan terdapat kelemahan struktur ekonomi yang perlu diperbaiki untuk kemampanan pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Dengan itu, Kerajaan Negeri optimis pelan tindakan yang telah digariskan ini akan dapat membantu pemulihan ekonomi di negeri Selangor seterusnya memacu pertumbuhan yang lebih mampan di masa akan datang.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.