Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

140) PELAN MENANGANI MASALAH BEKALAN AIR BERSIH KEPADA PENGGUNA

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Perancangan, jika ada, untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu bekalan air bersih kepada pengguna, senarai ahli jawatankuasa dan terma rujukan serta pengumuman rasmi berkala oleh Kerajaan Negeri sebagai komitmen mengatasi masalah tersebut.

    Untuk makluman YB, Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Air bagi menangani isu bekalan air bersih kepada pengguna dan Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor, kedua-duanya dipengerusikan oleh YB. Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memantau perkara-perkara yang melibatkan sumber air mentah. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa tidak ada sebarang keperluan untuk menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas bagi mengatasi isu bekalan air bersih kepada pengguna.

    Selain dari jawatankuasa yang telah ditubuhkan itu, sebarang isu berkaitan dengan bekalan air bersih juga akan dimaklumkan secara langsung oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) kepada Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

    Kaedah semasa ini bagaimanapun tidak sesekali bermaksud bahawa Kerajaan Negeri tidak mengambil sebarang usaha untuk menangani isu bekalan air bersih kepada rakyat Negeri Selangor sebaliknya, selain daripada pemantauan melalui kedua-dua jawatankuasa dan juga MMKN, usaha penambahbaikan bekalan air bersih juga telah dijadikan sebagai sebahagian daripada perancangan tahunan Kerajaan Negeri melalui penukaran paip air lama, pembinaan loji rawatan air baru seperti Semenyih 2 dan Labohan Dagang dan lain-lain lagi.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.