Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

107) PELAN PEMBANGUNAN PENEROKA

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah proaktif Kerajaan Negeri untuk memudahcara implementasi Pelan Pembangunan Peneroka yang melibatkan penggunaan tanah melalui Akta Tanah (kawasan penempatan berkelompok) 1960 dan Perjanjian Bersama Antara FELDA dan Kerajaan Negeri?

    Untuk makluman YB, Pelan Pembangunan Peneroka (PPP) yang dilancarkan pada April 2019 merupakan satu pelan tindakan berteraskan smart farming dan aktiviti-aktiviti hiliran bagi meningkatkan pendapatan 112,000 peneroka supaya tidak terlalu bergantung kepada kelapa sawit. Bagi penanaman  pertanian secara komersial selain kelapa sawit, pihak FELDA perlu merujuk kepada syarat nyata tanah bagi lot-lot yang ingin dibangunkan. Sekiranya syarat nyata adalah tanaman kelapa sawit, maka pihak FELDA perlu memohon untuk penukaran syarat nyata terlebih dahulu.

     

    Apabila Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengisytiharkan sesuatu kawasan di bawah Seksyen 4 Akta Tanah sebagai kawasan pembangunan Persekutuan, maka kawasan itu akan terletak hak kepada agensi berkenaan (FELDA) menerusi pemakaian peruntukan Seksyen 34(2). Selagi mana tanah tersebut masih dalam kawasan yang diwartakan sebagai Kawasan Penempatan Berkelompok, maka peruntukan-peruntukan dalam Akta tersebut melalui Seksyen 14, Seksyen 15 dan Seksyen 16 perlu dipatuhi.

     

    Oleh yang demikian, sekiranya tanah ini akan dibangunkan, tindakan pembatalan Kawasan Penempatan Berkelompok di bawah Seksyen 44(1) Akta Tanah perlu dilaksanakan supaya tanah ini tidak lagi tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang menghalang pembangunan. Tatacara pembatalan Kawasan Penempatan Berkelompok di bawah Seksyen 44(1) Akta Tanah adalah seperti yang dinyatakan dalam Pekeliling JKPTG Bil.8/2017. Pembatalan boleh dilaksanakan setelah berunding dengan Menteri yang dipertanggungjawabkan.

     

    Setelah pembatalan Kawasan Penempatan berkelompok diwartakan, maka pembangunan boleh dilaksanakan berdasarkan peruntukan-peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) seperti tujuan serah dan berimilik semula di bawah Seksyen 204B KTN, mengubah kategori dan syarat nyata tanah di bawah Seksyen 124 KTN atau lain-lain urus niaga ke atas hakmilik seperti pindah milik, pajakan atau lain-lain.

     

    Selain itu, Pihak Berkuasa Negeri bersedia untuk memberikan kerjasama dengan melaksanakan sesi engagement bersama FELDA menerusi pelan pembangunan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.