Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

195) PELAN STRATEGIK KUIS 2014-2018

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perincian dan isi kandungan pelan strategik ini?

    Pelan Strategik Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) 2014 hingga 2018 ini menggariskan matlamat dan hala tuju KUIS untuk tempoh lima (5) tahun yang akan datang. Secara amnya perancangan ini juga mengambil kira perubahan scenario yang berlaku sejajar dengan perubahan ekosistem pengajian tinggi negara selain memastikan keperluan semasa diperhalusi secara berterusan. Selain itu ia juga turut mengambil kira dan memberi penekanan kepada aspek kualiti, keberhasilan positif dan negatif serta impak inisiatif hasil pelaksanaannya.

    KUIS mempunyai objektif strategik yang dirangka berdasarkan 5 perkara asas di dalam Institusi Pengajian Tinggi iaitu Akademik, Pentadbiran, Mahasiswa, Ekonomi dan Kewangan serta ICT. Berikut adalah 5 Objektif Strategik KUIS 2014 -2018:

    1. Objektif Strategik 1: AKADEMIK

    Melaksanakan program akademik terkini teras tauhid melalui pendidik terbaik dibantu peralatan dan prasarana lengkap.

    Usaha memperkasakan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) adalah penting untuk melahirkan insan yang berkemahiran tinggi bagi mendepani cabaran masyarakat yang lebih kompleks yang bersesuaian dengan masa dan cabaran baru mendatang. Kaedah mendidik dan penyampaian ilmu perlu mengikut perkembangan yang bersesuaian dengan Kurikulum yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah yang telah berjaya mengubah perilaku orang-orang yang beriman melalui pengajaran dan pembelajaran akidah dan

     

    nilai-nilai Islam melalui beberapa prinsip dan pendekatan utama iaitu motivasi, pengulangan, menarik perhatian, penyertaan aktif dan berkesan, belajar secara beransur-ansur, usaha perubahan secara berperingkat, meniru atau menteladani, membuat penilitian, berfikir secara mendalam atau reflektif, menegur dan memberi nasihat secara langsung.

    Untuk itu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor mengemukakan sebanyak 9 strategi, 29 petunjuk prestasi utama (KPI) dan 31 indikator untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun akan datang.

    JUMLAH STRATEGI AKADEMIK 9
    JUMLAH PETUNJUK PRESTASI UTAMA

    (KPI)

    29
    JUMLAH INDIKATOR 31
    1. Objektif Strategik 2 : PENTADBIRAN

    Membangun dan meningkatkan kualiti mahasiswa dari sudut ilmu, kemahiran, perasaan, sikap, nilai, sahsiah melalui program-program formal, informal dan non-formal.

    Pengurusan Modal Insan dianggap sebagai satu cara yang penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Komitmen yang ditunjukkan oleh setiap kakitangan dilihat dari sudut pengemblengan tenaga, usaha, daya saing dan kecenderungan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan melalui keberkesanan sistem pengurusan dan pentadbiran yang cekap.

    Untuk itu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor mengemukakan sebanyak 8 strategi, 17 petunjuk prestasi utama (KPI) dan 22 indikator untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun akan datang.

    JUMLAH STRATEGI PENTADBIRAN 8
    JUMLAH PETUNJUK PRESTASI UTAMA

    (KPI)

    17
    JUMLAH INDIKATOR 22
    • Objektif Strategik 3 : MAHASISWA

    Membangun dan meningkatkan kualiti mahasiswa dari sudut ilmu, kemahiran, perasaan, sikap, nilai, sahsiah melalui program-program formal, informal dan non-formal.

    Usaha yang berterusan sentiasa digembleng untuk membangun dan meningkatkan kualiti mahasiswa KUIS dari sudut ilmu dan kemahiran yang tinggi. Penyesuaian perasaan, sikap dan nilai pelajar digarap bagi membentuk sahsiah mahasiswa yang tinggi adab dan nilai melalui pelbagai program. Penekanan kepada melahirkan mahasiswa ataupun graduan yang sedar dirinya sebagai hamba Allah dan seterusnya melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan kemahiran yang diperolehi.

    Untuk itu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor mengemukakan sebanyak 14 strategi, 26 petunjuk prestasi utama (KPI) dan 29 indikator untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun akan datang.

    JUMLAH STRATEGI MAHASISWA 14
    JUMLAH PETUNJUK PRESTASI UTAMA

    (KPI)

    26
    JUMLAH INDIKATOR 29
    1. Objektif Strategik 4 : EKONOMI DAN KEWANGAN

    Memperkasa pengurusan kewangan dan membudayakan pembangunan ekonomi berdasarkan objektif.

    Sumber ekonomi dan kewangan amat diperlukan dalam usaha menjana pendapatan selain melaksanakan perbelanjaan berhemah. Kelangsungan sesebuah institusi pendidikan untuk terus bersaing dengan yang lain turut dipengaruhi oleh corak pengurusan sistem kewangan yang efektif dan lancar.

    Dalam usaha untuk membangunkan organisasi penggunaan kewangan secara berkesan perlu dititik beratkan melalui pengamalan tatacara kewangan yang telus.

    Untuk itu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor mengemukakan sebanyak 5 strategi, 18 petunjuk prestasi utama (KPI) dan 26 indikator untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun akan datang.

    JUMLAH        STRATEGI    KEWANGAN             & EKONOMI 5
    JUMLAH PETUNJUK PRESTASI UTAMA

    (KPI)

    18
    JUMLAH INDIKATOR 26
    1. Objektif Strategik 5 : ICT

    Memperkasa Pengurusan ICT Untuk Mencapai Sistem Penyampaian Perkhidmatan Dan Operasi Yang Berkesan.

    Pengurusan sistem teknologi maklumat (ICT) yang berkembang pesat masa kini memerlukan kepada penguasaan teknologi yang cepat dan pantas agar sesebuah organisasi itu tidak ketinggalan dari sudut ilmu sains dan teknologi.

    Dalam usaha untuk memberikan suatu sistem penyampaian yang cepat, tepat, pantas dan berkesan adalah sesuatu yang agak sukar kerana persaingan yang sengit dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik khususnya buat pelanggan mahupun pihak yang berkaitan.

    Sejajar dengan perkembangan teknologi yang secara tidak langsung banyak membantu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sesebuah organisasi maka ianya tidak patut dipandang sepi dan seolah-olah beranggapan bahawa sistem yang digunapakai boleh mendatangkan kemudaratan kepada sesetangah pihak.

    Untuk itu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor mengemukakan sebanyak 5 strategi, 11 petunjuk prestasi utama (KPI) dan 18 indikator untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun akan datang

    JUMLAH STRATEGI ICT 5
    JUMLAH PETUNJUK PRESTASI UTAMA

    (KPI)

    11
    JUMLAH INDIKATOR 18

Lampiran

Tiada Lampiran.