Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

59) PELAN TINDAKAN MANIFESTO

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila kemukakan jadual pelaksanaan buku jingga atau manifesto Pakatan Rakyat Selangor

    Untuk makluman, Buku Jingga adalah manifesto yang telah dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat di peringkat Persekutuan. Oleh kerana Pakatan Rakyat telah memerintah Selangor untuk 5 tahun, satu manifesto khas bertemakan ‘Meneruskan Kecemerlangan’ telah ditawarkan kepada rakyat Selangor dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu.

    Tema ‘Meneruskan Kecemerlangan’ menunjukkan hasrat Pakatan Rakyat untuk meneruskan polisi dan program yang telah dijalankan sejak mengambil alih tampuk pimpinan Negeri Selangor pada 2008, terutamanya program-program di bawah ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ (MES) yang telah memberi manfaat kepada lebih 1.6 juta orang rakyat di negeri ini.

    Manifesto ‘Meneruskan Kecemerlangan’ terbahagi kepada tiga teras utama iaitu Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Persaudaraan Rakyat menerusi aktiviti keagamaan dan kebudayaan. Setiap program yang telah ditawarkan ini telah disusun untuk dilaksanakan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

    Justeru bagi meneruskan kesinambungan Buku Jingga selanjutnya, Kerajaan Negeri telah menawarkan semasa pembentangan Belanjawan 2015 yang bertemakan ‘Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli’ pada 24 November 2014 beberapa perkara yang juga berasaskan Buku Jingga.  Antaranya ialah melaksanakan dasar ekonomi yang bersifat Developmental, yakni berteraskan konsep kualiti tinggi, merangsang kreativiti dan inovasi.

    Sebanyak 277.3 juta diperuntukan bagi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang merupakan teras Buku Jingga.  Strategi berdasarkan Buku Jingga seperti membesarkan lapisan kelas menengah, memberdaya ekonomi hawa yang mensasarkan penyertaan 30% wanita, peningkatan usahawan generasi muda, kejiranan hijau dan menjana industri budaya dan intelektual akan terus dimantapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.