Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

170) PELANCONGAN DAN PRODUK PELANCONGAN LUAR BANDAR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah komitmen Kerajaan Negeri dalam memajukan Industri Pelancongan dan Produk Pelancongan Luar Bandar

    Terdapat pelbagai bentuk komitmen yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memantapkan lagi industri pelancongan negeri Selangor. Disamping pembinaan infrasturktur dan pembiayaan pembangunan industri itu secara langsung, Kerajaan Negeri juga telah mula mengorak langkah untuk mengenalpasti aspek pembangunan insan serta menaikkan tahap kecekapan di dalam kelompok penggiat dan pengusaha industri pelancongan ini.

    Terkini, suatu program latihan kemahiran yang dikenali sebagai Program Hos Komuniti Selangor 2018 telah dimulakan melalui pengambilan peserta kumpulan pertama untuk diangkat sebagai Pemandu Pelancong Tempatan di daerah Kuala Selangor. Asas program ini adalah berupa suatu program latihan kemahiran yang dapat melahirkan juru pandu pelancong yang terlatih di setiap daerah dan penempatan yang berhampiran dengan pusat tarikan pelancong. Lanjutan dari itu, pelbagai program yang serupa akan diperkenalkan ke daerah-daerah lain di seluruh Negeri Selangor dalam jangkamasa terdekat ini.

    Program latihan kemahiran ini berlangsung selama enam-(6) bulan dan khusus disediakan untuk peserta tempatan mengikut lokaliti masing-masing. Ianya mendapat pengiktirafan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta persijilan dari Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia. Setakat ini hanya peserta yang berumur diantara 21 tahun hingga 35 tahun sahaja yang diterima untuk mengikuti latihan kemahiran tersebut.

    Adalah diharapkan dengan adanya program sedemikian, akan wujudnya minat yang berterusan bagi penduduk tempatan; terutamanya kaum belia di kawasan luar bandar untuk berkecimpung dan membina kerjaya di dalam bidang pelancongan negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.