Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

117) PELANCONGAN DI KLANG

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk menaik taraf Gedung Raja Abdullah dan kawasan sekitar sebagai kawasan pelancongan?

             Gedung Raja Abdullah merupakan sebuah bangunan dua tingkat bercirikan senibina Inggeris dan telah dibina oleh Raja Abdullah di Pekan Batu Klang tebing Sungai Klang pada tahun 1856 sebagai tempat kediaman dan menyimpan bijih timah. Raja Abdullah merupakan wakil Sultan yang diperintahkan mengutip hasil dan memperdagangkan bijih timah yang dihasilkan di Lembah Klang. Pada tahun 1866, Gedung Raja Abdullah dijadikan sebagai kubu pertahanan orang-orang Bugis dari serangan Raja Mahadi yang berkubu di Kota Raja Mahadi tidak jauh dari kawasan ini (perkarangan bangunan Majlis Perbandaran Klang sekarang) semasa berlakunya Perang Saudara (Perang Klang pada tahun 1867 hingga 1873). Majlis Mesyuarat Negeri (Dewan Undangan Negeri) ditubuhkan oleh Sultan Abdul Samad berdasarkan kaedah Barat dan mengikut panduan Bloomfield Douglas iaitu Residen Inggeris di Selangor. Persidangan pertama diadakan diruang tingkat atas Gedung Raja Abdullah, Klang.

     

    Pada bulan Mac 1880, pentadbiran British di Selangor telah berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur. Perpindahan tersebut menjadikan pengurusan bangunan Gedung Raja Abdullah diambil oleh pihak polis untuk dijadikan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang. Selepas 100 tahun (1880-1980), Gedung Raja Abdullah dikosongkan oleh pihak polis dan berpindah ke bangunan berek dan pejabat yang baru siap dibina dibahagian belakang Gedung ini.

     

    Pada tahun 1984, Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia pernah membuat kerja-kerja konservasi pada bangunan ini dan diteruskan oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2008. Terkini, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah melaksanakan kerja-kerja naik taraf bangunan Gedung Raja Abdullah bermula pada 6 Ogos 2018 dan selesai dilaksanakan pada 2 Ogos 2019. (Rujuk Gambar 1) Kerja naik taraf ini merangkumi kerosakan utama seperti bahagian bumbung, dinding, struktur lantai, pagar, tangga, pintu dan tingkap. Masalah struktur bumbung merangkumi pereputan kayu akibat kelembapan kayu dan serangan anai-anai. Kecacatan struktur bumbung bangunan ini boleh dijumpai di papan rasuk dan rangka atap.

     

    Bagi menggalakkan aktiviti pelancongan, bangunan yang telah selesai dinaik taraf ini akan kekal dengan nama Gedung Raja Abdullah dan kerja-kerja pengisian (Muzium atau Galeri) sedang dalam perancangan pihak PADAT merangkumi sejarah berkaitan bandar Klang, Raja Abdullah, perlombongan bijih timah dan balai polis. Kedudukan Gedung Raja Abdullah berhampiran Pengkalan Batu di Sungai Klang ini merupakan lokasi yang sangat strategik. Hal ini kerana, terdapat banyak tempat menarik berdekatan dengan Gedung Raja Abdullah seperti Sultan Abdul Aziz Royal Gallery, Sri Kota Specialist Medical Centre, Klang River, Kota Bridge dan lain-lain. Pelancong dari dalam dan luar negara dapat melawat Gedung Raja Abdullah  dan dapat mengetahui dengan lebih dekat lagi mengenai sejarah bijih timah dan keunikan seni bina di Gedung Raja Abdullah.

     

    Usaha ini dapat direalisasikan dengan menjalinkan kerjasama bersama Tourism Selangor, Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Daerah Tanah dan Klang dalam mewujudkan Heritage Trail kepada pelancong bagi mengenali sejarah kegemilangan bandar Klang khususnya di kawasan sekitar Gedung Raja Abdullah.

     

     

    Gambar 1: Keadaan terkini bangunan Gedung Raja Abdullah setelah selesai kerja-kerja baik pulih

Lampiran

Tiada Lampiran.