Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

154) PELANCONGAN KESIHATAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah pelaburan Kerajaan Negeri dalam sektor pelancongan kesihatan yang semakin mendapat sambutan serta usaha yang dijalankan dengan pihak kementerian?

    Seperti berikut:-

    1. Jumlah Pelaburan Kerajaan Negeri Dalam Sektor Pelancongan Kesihatan

     

    Untuk Tahun 2019, tiada peruntukan spesifik bagi Pembangunan Pelancongan Kesihatan. Walaubagaimanapun, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 3.5 juta untuk menjalankan acara dan program promosi pelancongan secara keseluruhan sepanjang Tahun 2019, berdasarkan pelbagai kaedah yang dilaksanakan bagi mempromosikan produk-produk pelancongan termasuk produk pelancongan kesihatan di Negeri Selangor.

    1. Potensi dan usaha yang telah dijalankan bagi mempromosikan dan meningkatkan pembangunan produk pelancongan kesihatan di Negeri Selangor

     

    Untuk makluman, Negeri Selangor merupakan hub pelancongan kesihatan terbesar dengan 17 buah hospital pakar persendirian yang mempunyai pelbagai kepakaran khusus dan fasiliti teknologi perubatan terkini. Menurut sumber daripada Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), statistik pelancongan kesihatan di Negeri Selangor mencatatkan hasil kutipan keuntungan resit perbelanjaan berjumlah RM 239.60 Billion pada tahun 2018. Manakala dicatatkan jumlah kedatangan pelancong kesihatan seramai 240,100 pelancong yang datang ke Negeri Selangor bagi mendapatkan rawatan kesihatan pada tahun 2018. Terdapat pertumbuhan positif pada graf kedatangan pelancong dan juga resit perbelanjaan iaitu 13% berbanding tahun 2015.

     

    Berdasarkan potensi pasaran pelancongan kesihatan yang semakin berkembang pesat di Negeri Selangor, pihak Tourism Selangor telah dan akan mengambil inisiatif bagi menggerakkan usaha-usaha mempromosikan sektor pelancongan kesihatan seperti berikut :-

     

    • Penganjuran program ‘Malindo Air And China Travel Agent Fam Trip 2019’ dengan kerjasama Malindo Air, MHTC dan Tourism Selangor membawa Seramai 13 agensi pelancongan dan media daripada China yang memfokuskan produk pelancongan kesihatan di Negeri Selangor.

     

    • Penyertaan Program Persidangan Pelancongan ‘INSIGHT’ 2019 yang merupakan persidangan pelancongan kesihatan terbesar di Kuala Lumpur anjuran Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) pada 24 – 25 September 2019 bertempat di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur.

     

    • Cadangan Penganjuran Program Persidangan Pelancongan ‘INSIGHT’ Tahun 2020 di mana pihak Tourism Selangor meletakkan sasaran untuk melebarkan lagi sayap promosi bagi segmen pelancongan kesihatan dimana persidangan pelancongan kesihatan antarabangsa yang terbesar di Kuala Lumpur akan dianjurkan di Negeri Selangor. Lokasi yang dicadangkan bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre, Subang.

     

    • Penganjuran program ‘Medical Travel Media Awards’ (MTMA) Tahun 2020 yang merupakan majlis anugerah media pelancongan kesihatan bertaraf antarabangsa yang dianjurkan dengan kerjasama MHTC.

    Penyertaan Tourism Selangor bagi program Pameran Pelancongan Kesihatan MHEXPO di Indonesia Tahun 2020 yang merupakan siri promosi pelancongan kesihatan yang dianjurkan di 4 buah kota di Indonesia (Jakarta, Surabaya, Palembang & Makasar). Indonesia merupakan pasaran yang terbesar bagi segmen pelancongan kesihatan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.