Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

271) Pelancongan Perindustrian

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sektor Perindustrian adalah sektor terpenting di Selangor. Adakah kerajaan akan menimbangkan untuk mewujudkan insentif bagi memajukan projek pelancongan perindustrian terutamanya di Balakong demi menjayakan satu cara pelancongan baru dalam negeri?

    Lawatan Pelancongan Perindustrian bukanlah satu segmen pelancongan yang baru di Negeri Selangor malahan sudah dijalankan oleh Tourism Selangor sebelum ini melalui permohonan yang pernah dibuat oleh Institusi Pendidikan, Syarikat Swasta, Jabatan Kerajaan dan Agensi Pelancongan dari dalam mahupun luar negara. Pihak Tourism Selangor juga sedang membuat persediaan terperinci dengan membuat perancangan rangka kerja untuk segmen pelancongan Industri yang juga melibatkan kawasan perindustrian di Balakong.

    Pelancongan Perindustrian ini sering berkait rapat dengan Pelancongan Pendidikan di mana permohonan yang diterima oleh Tourism Selangor kebanyakannya adalah daripada institusi-institusi ini. Antara lawatan pelancongan perindustrian yang pernah dan sedang giat dijalankan mengikut permintaan pasaran pelancongan yang terkini di Negeri Selangor adalah seperti:

    1. Lawatan ke Kilang Perusahaan Otomobil (PROTON) – Shah Alam
    2. Lawatan ke Kilang Perusahaan Makanan (GARDENIA) – Shah Alam
    3. Lawatan ke Kilang dan Muzium Perusahaan Makanan (Chocolate Museum) – Kota Damansara
    4. Lawatan ke Royal Selangor Pewter – Setapak
    5. Lawatan ke Tumasek Pewter – Kepong
    6. Lawatan ke Perusahaan Kecil & Sederhana (D’or Rue – Kraftangan) – Batu Caves
    7. Lawatan ke Perusahaan Kecil & Sederhana di kawasan kampung (Luar Bandar) yang melibatkan aktiviti serta pelaksanaan program Homestay.

     

    Pihak Tourism Selangor selaku agensi promosi pelancongan di Negeri Selangor tidak memfokuskan kepada daerah atau kawasan tertentu sahaja dalam mempromosikan segmen-segmen pelancongan yang berkaitan dan sentiasa menerima cadangan mengenai lokasi-lokasi lain sekiranya semua pihak memerlukan bantuan dan keterbukaan dalam mempromosikan produk pelancongan masing-masing setelah memenuhi kriteria dan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan serta mempunyai kemudahan pelancongan yang lengkap.

Lampiran

Tiada Lampiran.