Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

54) PELANTIKAN EJEN PENGURUSAN UNTUK FLAT PKNS SEKSYEN 17, PETALING JAYA

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapa Ejen Pengurusan untuk Flat PKNS Seksyen 17, Petaling Jaya masih belum dilantik?

    Untuk makluman, semasa mesyuarat agung tahunan pertama Perbadanan Pengurusan yang diadakan pada tahun 2011, kuorum mesyuarat yang hadir telah melantik beberapa pemilik petak sebagai ahli majlis bagi menjalankan pengurusan dan penyenggaraan bangunan di setiap blok. Tiada keperluan untuk pihak COB melantik ejen pengurusan pada ketika itu kerana berdasarkan kepada Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) yang berkuatkuasa pada masa itu, ahli majlis yang dilantik yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menguruskan kawasan tersebut. Akan tetapi, disebabkan keengganan ahli majlis berkenaan untuk mengambilalih pengurusan, maka pengurusan telah diteruskan oleh pihak ejen pengurusan yang dilantik oleh pihak pemaju iaitu IM Global Property Consultant (IMG).

     

    Keputusan COB untuk melantik ejen pengurusan ini adalah kerana pihak COB telah dimaklumkan oleh pihak IMG bahawa di dalam mesyuarat agung tahunan kedua yang diadakan pada 7hb. Jun 2015 yang lalu, kuorum mesyuarat telah gagal untuk melantik ahli majlis bagi tempoh pengurusan seterusnya untuk mengurus tadbir kawasan berkenaan.

    Lanjutan itu, melalui surat bertarikh 13hb. Julai 2015 kepada pihak IMG (iaitu selepas pihak COB menerima surat aduan dan minit mesyuarat agung daripada pihak IMG), pihak COB telah memutuskan agar pelantikan ejen pengurusan perlu dilakukan bagi kawasan berkenaan serta telah memohon pertimbangan IMG untuk meneruskan penyenggaraan dan pengurusan bangunan buat sementara waktu sehingga proses lantikan ejen selesai. Pihak COB juga akan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada semua pemilik petak mengenai pelantikan ejen ini dan pemilik petak diberi tempoh selama 14 hari dari tarikh notis disampaikan untuk memfailkan bantahan atau mendapatkan penjelasan daripada pihak COB mengenai perkara (pelantikan) ini. Sekiranya tiada bantahan selepas tamat tempoh berkenaan, maka pihak COB akan mengambil langkah seterusnya dengan mengeluarkan surat tawaran kepada ejen pengurusan yang telah dikenalpasti untuk mendapatkan sebutharga bagi tujuan tersebut dan analisa sebutharga dan pemilihan ejen pengurusan akan dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal COB yang akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.