Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

10) PELANTIKAN KETUA KAMPUNG TRADISI DAN TERSUSUN DAN PENAMATAN PERKHIDMATAN

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila sebutkan cara-cara menamatkan perkhidmatan ketua kampung

    1. Untuk menamatkan perkhidmatan Ketua Kampung hendaklah berpandukan kepada Perenggan 6 buku Manual Panduan Kerja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Selangor Darul Ehsan yang dikeluarkan oleh UPEN Selangor bertarikh September, 2001 iaitu :-

     

    Tempoh Perkhidmatan Ketua Kampung

     

    • Perkhidmatan Ketua Kampung hendaklah disemak oleh Pentadbir Daerah pada setiap 2 tahun sekali. Sekiranya seseorang Ketua Kampung itu melakukan kesalahan atau tiada menjalankan tugasnya dengan sempurna seperti yang ditetapkan di dalam Surat Kuasa, Pegawai Daerah bolehlah mengambil tindakan untuk menamatkan perkhidmatannya pada bila-bila masa yang difikirkan perlu.

     

    • Ketua-ketua Kampung yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab dan tidak menunjukkan prestasi yang baik sebagai Ketua Kampung, maka Pegawai Daerah hendaklah mengambil tindakan untuk menamatkan perkhidmatannya dengan mendapat kelulusan daripada mesyuarat Pembangunan Daerah. Kelulusan tersebut hendaklah dipanjangkan ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan UPEN, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mendapatkan kelulusan daripada Y.A.B. Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

     

    • Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan mengesahkan penamatan Lembaga Perkhidmatan Ketua Kampung setelah diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib atau Rayuan Tatatertib Ketua Kampung. Pengesahan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di atas penamatan perkhidmatan seseorang Ketua Kampung adalah muktamad, tertakluk kepada terma-terma di dalam manual ini.

     

     

     

    • Had umur perkhidmatan Ketua Kampung ditetapkan pada peringkat 65 tahun. Bagi Ketua-ketua Kampung lantikan baru yang telah mencapai umur 60 tahun, adalah dibenarkan terus menjawat jawatan Ketua Kampung sehingga umur 65 tahun, dengan syarat Ketua-ketua Kampung yang berkenaan memenuhi syarat-syarat berikut:

     

    • Mereka hendaklah sihat dan cergas;
    • Mereka hendaklah dapat menyesuaikan tugas-tugas mereka dengan dasar Kerajaan pada masa ini sebagaimana yang disebutkan dalam Surat Kuasa Kampung yang baru;
    • Mereka hendaklah tidak pernah didapati melakukan kesalahan jenayah oleh mahkamah dan dihormati oleh anak-anak buah mereka; dan
    • Mereka hendaklah dapat menjalankan tugas-tugas mereka sesuai dengan kehendak pemerintahan Kerajaan Negeri khususnya di dalam Rancangan Pembangunan Luar Bandar.

     

    • Pegawai Daerah hendaklah mengambil tindakan untuk menamatkan perkhidmatan Ketua-ketua Kampung yang telah mencapai umur 65 tahun dan sebagai penghargaan kepada sumbangan perkhidmatan yang telah diberikan, mereka akan diberikan Sijil Penghargaan yang ditandatangani oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri dan Y.A.B. Menteri Besar Selangor.

     

    • Bagi Ketua-ketua Kampung yang sedia ada sekarang dan telah mencapai umur 65 tahun atau lebih, mereka ini dibenarkan terus memegang jawatan ini kecuali tempoh perkhidmatan mereka ditamatkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.