Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

117) PELANTIKAN PENYELIA PUSAT WANITA BERDAYA

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Tan Pok Shyong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Walaupun saya telah menulis 2 surat kepada EXCO berkenaan bertarikh 18/12/2013 dan 12/1/2015 bagi pelantikan penyelia Pusat Wanita Berdaya bagi kawasan Pandamaran seperti diminta, pelantikan masih tidak dilaksanakan sehingga kini selepas 1 1/2 tahun. Apakah sebab kelewatan yang terlampau tersebut?

    Pusat Wanita Berdaya (PWB) adalah penjenamaan semula Pusat Komuniti Wanita (PKW) yang telah wujud sejak tahun tahun 2009 di lapan (8) DUN sebagai pilot program di Negeri Selangor.

    Setiap PWB mempunyai seorang penyelia yang berperanan sebagai urus setia bagi setiap aktiviti yang dijalankan. Mulai Jun 2012 hingga Mac 2013 para penyelia ketika itu telah diberi elaun oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) dengan menggunakan peruntukan Geran Selangorku. Namun mulai Januari 2014 hingga kini, penyelia ini tidak diberikan sebarang elaun dan perkara ini dibangkitkan oleh para penyelia tentang bayaran elaun dan status perkhidmatan dengan Kerajaan Negeri. Berikut adalah kronologi proses kelulusan pelantikan tersebut dilakukan :-

    Bermula dengan, satu kertas cadangan berhubung PWB Selangor telah dikemukakan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor ke 13/2014 melalui kertas MMK. No. 43/13/2014. Namun demikian terdapat beberapa pindaan penambahbaikan ke atas kertas tersebut.

    Kertas penambahbaikan tersebut dikemukakan semula di dalam MMKN ke 46/2014 bertarikh 28 November 2014 untuk kelulusan.

    Setelah keputusan diperolehi melalui Cabutan Keputusan Kertas MMKN bertarikh 28 November 2014 dan telah disahkan oleh MMKN ke 47/2014 pada10 Disember 2014 maka bermula proses pelantikan Penyelia PWB secara rasmi.

    Surat makluman telah dihantar ke semua pejabat ADUN untuk mengemukakan senarai calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

    Sesi temuduga telah dijalankan sebanyak lima (5) sesi bermula pada 27 Januari 2015 sehingga 30 Januari 2015. Satu sesi temuduga bertarikh 23 Februari 2015 turut diadakan berikutan terdapat beberapa ADUN yang lewat mengemukakan calon untuk ditemuduga. Seramai 100 orang calon telah hadir ke sesi temudga tersebut.

    Para penemuduga adalah terdiri daripada :-

    • Seorang wakil dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) SUK Selangor;
    • Seorang wakil dari Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor; dan
    • Seorang wakil dari Pejabat YB

     

    Senarai 56 orang calon yang berjaya telah diangkat melalui kertas makluman ke MMKN pada 18 Mac 2015. Surat lantikan akan dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Negeri setelah keputusan rasmi kertas makluman berkenaan diperolehi.

Lampiran

Tiada Lampiran.