Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

185) PELEBARAN CAPAIAN KEMUDAHAN PENGANGKUTAN AWAM

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan dalam menyediakan kemudahan pengangkutan awam kepada penduduk di kawasan luar bandar dan kawasan yang tiada akses kepada pengangkutan awam semasa?

    Penyediaan jaringan pengangkutan awam yang menyeluruh di sesebuah negeri termasuk Negeri Selangor adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan yang termaktub di dalam bidang kuasa Persekutuan, manakala Kerajaan Negeri menyokong segala pembangunan yang dirancang untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri juga sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan infrastruktur-infrastruktur pengangkutan awam seperti lebuh raya, Transit Aliran Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT), komuter dan Bus Rapid Transit (BRT).

    Bagi memastikan capaian kemudahan pengangkutan awam dapat disediakan kepada penduduk di kawasan luar bandar dan kawasan yang tiada akses kepada pengangkutan awam sedia ada tanpa penglibatan Kerajaan Persekutuan yang lalu, Kerajaan Negeri mengambil langkah dengan menyediakan inisiatif kemudahan pengangkutan awam kepada rakyat dengan menggunakan peruntukan sendiri bagi perkhidmatan bas percuma iaitu Bas Smart Selangor yang kini mempunyai 30 laluan dan 100 buah bas di sebelas Pihak Berkuasa Tempatan. Perkhidmatan bas ini sentiasa diperluaskan dan ditambahbaik setiap tahun tertakluk kepada kemampuan kewangan Kerajaan Negeri.

    Pelaksanaan Bas Smart Selangor yang memasuki tahun ketiga adalah inisiatif terbaik Kerajaan Negeri yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai kelompok masyarakat yang menggunakan perkhidmatan ini. Untuk memastikan perkhidmatan bas awam di Negeri Selangor lebih efisyen dan mudah, cadangan penggunaan bas bersaiz mini atau van perlu dibenarkan semula oleh Kerajaan Persekutuan bagi perkhidmatan bas di kawasan-kawasan yang sukar untuk dilalui oleh pengangkutan awam sedia ada. Selain daripada itu, perkhidmatan bas yang turut disokong dengan kemudahan pengangkutan lain seperti basikal, hentian bas yang selesa dan selamat akan menambah keyakinan rakyat terhadap langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam di Negeri Selangor yang lebih bermanfaat dan menyeluruh.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.