Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

36) PELUANG EKONOMI BELIA

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam membantu kelompok belia yang terjejas dari sudut ekonomi pasca pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan?

    Soalan ini dijawab bersekali dengan pertanyaan mulut No.44 daripada Y.B. Puan Jamaliah binti Jamaluddin dari DUN Bandar Utama berhubung dengan soalan Kelangsungan Ekonomi Anak Muda

    Pandemik COVID-19 telah disahkan merebak di Malaysia pada 25 Januari 2020. Dengan kadar jangkitan virus ini yang meningkat dengan pantas, kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020. PKP ini selanjutnya melalui fasa-fasa yang antaranya PKPD, PKPB dan terkini ianya dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2020 melalui PKPP. Golongan belia adalah merupakan antara golongan yang terjejas dari sudut ekonomi berikutan pelaksanaan PKP ini. Ramai daripada mereka kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri telah merancang bagi melaksanakan beberapa inisiatif dalam membantu meredakan keresahan rakyat khususnya dalam aspek kelangsungan hidup pasca Covid-19 yang tidak hanya menyasarkan Golongan Belia secara khusus tetapi juga seluruh rakyat negeri Selangor. Di antara inisiatif tersebut adalah seperti berikut: –

    a) Selangor Advance
    Selangor Advance adalah inisiatif pembiayaan tunai bagi membantu golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memperbaikkan aliran tunai dan pusingan modal bagi mengekalkan kelangsungan operasi mereka terutamanya ketika masa pemulihan ini. Golongan belia boleh mengambil peluang dari inisiatif ini untuk memperkembangkan dan memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

    b) Selangor Kerjaya
    Pengurusan Bakat dan Tenaga Kerja bagi rakyat di Negeri Selangor untuk menangani isu penawaran pekerjaan pasca wabak COVID-19 dan pembangunan kemahiran serta laluan kerjaya tenaga kerja terutamanya kepada golongan belia yang masih mencari peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian bagi memenuhi penawaran pekerjaan abad ke-21.

    c) Selangor E-Kitchen
    Selangor e-Kitchen adalah inisiatif digitalisasi perniagaan agar ekonomi negeri dapat memberi penciptaan nilai baru kepada masyarakat. Inisiatif ini membantu penjaja / peniaga kecil (PKS Mikro) untuk terus beroperasi secara dalam talian bagi memperluaskan akses pasaran. Sebagaimana umum sedia maklum, golongan belia adalah golongan yang sangat meminati perniagaan secara online ini kerana sifat mereka yang tidak gemar untuk terikat dengan majikan. Oleh itu, inisiatif ini dapat membantu golongan belia untuk meningkatkan ekonomi mereka.

    d) Selangor Procure
    Selangor Procure adalah inisiatif membuka peluang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Selangor untuk membekalkan produk dan servis kepada Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) di Selangor, melalui pelantar perolehan digital (e-procurement platform). Bagi belia yang baru menceburi bidang perniagaan, masalah kecairan modal merupakan antara masalah utama yang dihadapi mereka. Justeru dengan inisiatif ini, golongan belia tidak perlu lagi risau tentang kecairan modal mereka.

    Selain inisiatif-inisiatif yang dinyatakan ini, golongan belia juga boleh mengambil peluang dari lain-lain inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri seperti inisiatif rakan digital dan data internet Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.