Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

114) PELUPUSAN SAMPAH

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jangkaan keuntungan yang akan diperolehi oleh Kerajaan Negeri. Kini dilaksanakan oleh KDEB jika dibandingkan dengan pengurusan sendiri oleh PBT sebelum ini.

    Kerajaan Negeri melalui MMKN Ke-7/2016 pada 24 Februari 2016 yang disahkan oleh MMKN Ke-8/2016 pada 2 Mac 2016 telah menimbang dan meluluskan cadangan bagi mewujudkan Project Management Company (PMC) milikan Kerajaan Negeri, iaitu KDEBWM sebagai pengurus untuk pelaksanaan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam secara bersepadu di Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai projek perintis. Setelah kejayaan pelaksanaan perkhidmatan ini dapat dilihat di MPK, MMKN Bil. 42/2016 pada 21 Disember 2016 yang disahkan oleh MMKN 1/2017 pada 11 Januari 2017 telah bersetuju untuk meluluskan perluasan perkhidmatan PMC di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Dalam melaksanakan langkah ini, dari segi kewangan, tiada keuntungan yang diperoleh oleh Kerajaan Negeri berikutan kos yang terlibat tidak lebih daripada peruntukan tahunan semasa yang telah diperuntukkan oleh setiap PBT. Namun begitu, keuntungan diperolehi dari sudut perkhidmatan apabila perkhidmatan yang diberikan adalah lebih baik daripada apa yang dilaksanakan sebelum ini melalui pemodenan infrastruktur kutipan dengan penggunaan aplikasi dan teknologi dalam menangani masalah pengurusan sisa pepejal. Manfaat turut diperolehi dari segi keseragaman serta kualiti perkhidmatan yang diberikan, yang mana pelaksanaannya adalah sama di setiap PBT tidak mengira samada di kawasan PBT yang berkategori bandaraya/perbandaran atau di kawasan PBT yang berkategori daerah.

Lampiran

Tiada Lampiran.