Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

76) PEMAJU DAN PEMBANGUNAN HARAM

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Halimey Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan dan solusi yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi permasalahan yang timbul di kawasan yang tidak mempunyai Badan Pengurusan Bersama?

    Mulai tahun 2018, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program Pemberdayaan Komuniti atau K-Squad untuk menyelesaikan isu pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang tiada atau gagal menubuhkan Pengurusan Badan Pengurusan (JMB). Program ini mengambilkira Pesuruhjaya Bangunan (COB), di Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai kuasa untuk melantik ejen pengurusan di bawah Seksyen 86 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] bagi mengambil alih pangsapuri yang gagal ditubuhkan JMB. Namun demikian, kuasa tersebut sukar dilaksanakan secara efektif kerana tiada ejen pengurusan yang berminat untuk menguruskan bangunan terutama melibatkan jenis kos rendah memandangkan kos penyenggaraan yang tinggi.

    Justeru itu, Program K-Squad melalui COB akan mengenalpasti pangsapuri yang layak seterusnya melantik ejen pengurusan yang kompeten untuk menguruskan pangsapuri yang bermasalah ini. Bayaran fi kepada ejen akan disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi tempoh 6 bulan pada kadar RM6.00 seunit petak (50% lebih rendah dari kadar fi yang ditetapkan seperti Jadual 7, Akta Penilai, Pentaksir Dan Ejen Harta Tanah 1981 [Akta 242]). Ejen pengurusan di bawah program K-Squad perlu mematuhi standard operasi prosedur (SOP)  yang telah disediakan supaya pengurusan yang dilaksanakan oleh ejen berkenaan mencapai objektif membantu komuniti pangsapuri yang tiada badan pengurusan. Jangkaan output yang akan diperolehi daripada program K-squad adalah pangsapuri kos rendah yang bermasalah dapat diuruskan secara teratur terutama melibatkan pengurusan kewangan selain memberi pendidikan kepada pemilik tentang budaya kehidupan strata yang berterusan agar memudahkan pengurusan pangsapuri diambilalih oleh JMB selepas 1-3 tahun.

    Setakat 31 Disember 2019, jumlah pangsapuri yang terlibat dalam program K-Squad adalah 55 kawasan yang terdiri daripada 17,645 unit petak dengan nilaian kos RM583,700.76 yang melibatkan 2 fasa pelantikan. Pecahan peruntukan kos bagi program K-Squad mengikut kawasan COB adalah seperti berikut:

    BIL. FASA JUMLAH KAWASAN JUMLAH UNIT NILAIAN KOS (RM)
    1 Fasa Satu 10 5,689 193,858.20
    2 Fasa Dua 45 11,946 389,842.56
    JUMLAH 55 17,645 583,700.76

Lampiran

Tiada Lampiran.