Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

60) PEMAJU PANGSAPURI KOS RENDAH

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Banyak aduan telah diterima daripada penghuni rumah-rumah pangsa mengenai unit rumah mereka yang rosak. Pemaju-pemaju yang bertanggungjawab sering memberi alasan bahawa segala kerosakan sudah tidak dalam tanggungjawab mereka. Masalah penduduk rumah panjang sementara di PJS 1 masih belum selesai. Pemaju Peters Brickwork melengah-lengahkan pembinaan pangsapuri Blok F atas alasan tiada kewangan sedangkan pembinaan pusat komersil sedang berjalan dengan pesat di tapak berdekatan. Bagaimana para penghuni boleh mendapat pembelaan setiap kali aduan mereka tidak dilayani?

    Bagi setiap aduan penghuni yang tidak dilayani, mereka boleh mendapat pembelaan
    dengan mengemukakan aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan
    Tempatan (KPKT) yang mana KPKT mempunyai bidangkuasa di bawah Akta Pemajuan
    Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] untuk menangani dan
    menyelesaikan permasalahan berhubung kerosakan unit rumah penghuni yang
    berkenaan. Subseksyen 11(1)(a) Akta 118 secara jelas memperuntukkan antara lain
    bahawa bagi maksud melindungi kepentingan pembeli pemaju perumahan berlesen,
    Menteri boleh mengarahkan pemaju perumahan berlesen yang berkenaan supaya
    mengambil apa-apa langkah sebagaimana yang difikirkannya perlu untuk membetulkan
    apa-apa perkara atau hal keadaan sekiranya Pengawal berpendapat bahawa pemaju
    perumahan berlesen tersebut tidak dapat memenuhi obligasinya kepada pembelinya.
    Dalam memberikan arahan tersebut, Menteri boleh menetapkan bahawa apa-apa kos
    dan perbelanjaan yang ditanggung dalam menjalankan arahan Menteri tersebut
    hendaklah dibayar daripada Akaun Pemajuan Perumahan atau daripada wang yang
    kena dibayar kepada Akaun tersebut [Subseksyen (1A) Akta 118].
    Selain dari itu, penghuni boleh mengemukakan aduan kepada Lembaga Perumahan
    dan Hartanah Selangor (LPHS) yang mana, LPHS yang antara lainnya
    dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pembangunan sektor perumahan dan
    hartanah di negeri Selangor di bawah Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah
    Selangor 2001 dan bertindak sebagai perantara (mediator), akan mengambil tindakan
    proaktif dalam mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan penghuni tersebut.
    Kerajaan Negeri telah pun sedia maklum berkenaan aduan penghuni rumah panjang
    PJS 1 berhubung kelewatan pemaju menyiapkan rumah kos rendah bagi penempatan
    kekal mereka. Isu kelewatan pemaju membangunkan rumah kos rendah Blok E di
    Taman Petaling Utama adalah disebabkan adanya kes Mahkamah yang melibatkan
    bantahan awam ke atas pembangunan rumah kos rendah di atas tapak tersebut.
    Pemaju iaitu Peter’s Brickworks Sdn. Bhd. telah pun diarahkan supaya membangunkan
    dahulu Bok F (390 unit) di mana tawaran kepada penghuni rumah panjang PJS 1
    berserta pembeli yang lain hendaklah ditukarkan kepada blok tersebut. Memandangkan
    keadaan rumah panjang yang semakin uzur dan sering mengalami kerosakan, maka
    penduduk telah dicadangkan berpindah ke PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang
    di mana sewa akan ditanggung oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sehingga
    projek RKR Blok F siap sepenuhnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.