Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

130) Pemantapan Organisasi Ketua Komuniti India

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat unutk memantapkan fungsi Ketua Komuniti India sama seperti Ketua Kampung yang ada organisasi seperti MPKK?

    Untuk makluman Yang Berhormat Meru, Pelantikan Ketua Komuniti India (KKI) Negeri Selangor adalah berdasarkan kepada lokaliti yang mempunyai pengundi kaum India yang teramai. Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah melantik seramai 48 orang KKI mengikut saluran pengundi teramai di seluruh negeri Selangor. Untuk sesi pelantikan Ketua Komuniti India ketika itu, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa pengwujudan organisasi seperti MPKK untuk KKI tidak dapat diselaraskan sebagaimana Ketua Kampung Tradisi dan Ketua Kampung Baru disebabkan oleh faktor lokaliti dan peruntukan kewangan semasa. Namun begitu, baru – baru ini Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan Ke 34/2020 yang diadakan pada 30 September 2020 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan Ke 35/2020 pada 07 Oktober 2020 telah mempertimbang dan meluluskan penambahbaikan kuota perkhidmatan Ketua Komuniti Kaum India Negeri Selangor daripada 48 orang kepada 62 orang bagi sesi yang baharu 2020 sehingga 2022 di mana setiap DUN di Negeri Selangor akan menerima seorang Ketua Komuniti India berdasarkan jumlah pengundi berbangsa India di bawah 10,000 orang. Walau bagaimanapun, terdapat dua orang Ketua Komuniti India akan diletakkan di bawah DUN yang mempunyai jumlah pengundi berbangsa India yang melebihi 10,000 orang.

    Secara amnya, pelantikan Ketua Komuniti India Negeri Selangor ini sedikit sebanyak membantu ahli Parlimen dan ADUN kawasan dalam urusan hal ehwal masyarakat India. Di samping itu, program – program kemasyarakatan dan kebajikan di bawah Kerajaan Negeri khususnya yang memberi manfaat kepada masyarakat India yang dilaksanakan dengan kerjasama ahli Parlimen, ADUN serta Ahli Majlis akan dapat dimantapkan lagi dengan bantuan Ketua Komuniti India.

Lampiran

Tiada Lampiran.