Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

321) PEMANTAUAN KUALITI SUNGAI

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pencemaran ammonia telah mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi terpaksa ditutup. Apakah strategi Kerajaan Negeri untuk memastikan kandungan ammonia di sungai-sungai adalah sentiasa kurang daripada 1.5ppm?

    Antara faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku adalah kerana penurunan paras air sungai disebabkan ketiadaan hujan di sekitar kawasan tadahan Sungai Langat bermula penghujung bulan Januari, Februari dan Mac 2014. Keadaan ini menyebabkan kadar pencairan (dilution) berkurangan di dalam sungai dan menyebabkan peningkatan kadar kepekatan ammonia.

    Hasil siasatan Pasukan Petugas Lembangan Sungai Langat yang diurusetiakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)  dan dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan yang lain mendapati punca peningkatan kadar kepekatan ammonia adalah pelepasan ammonia dari Loji Rawatan Kumbahan (Sewerage Treatment Plant, STP) samada STP persendirian mahupun dari STP yang dikendalikan oleh Indah Water Konsortium (IWK). Secara purata kadar kepekatan harian ammonia LRA Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi  adalah di antara 3ppm hingga 6ppm.

    Pensampelan mendapati kesemua 307 buah STP yang terdapat di kawasan tadahan melepaskan kadar ammonia yang menepati piawaian. STP tersebut adalah terdiri daripada kategori 2 dan 3 yang mematuhi piawaian pelepasan ammonia sebanyak 50ppm.

    Antara langkah penyelesaian yang diambil adalah dengan meningkatkan kadar pengudaraan bagi merawat ammonia di STP dan penggunaan bahan kimia untuk menurunkan kadar ammonia di dalam efluen. Namun, terdapat kekangan dalam pelaksanaan ini dari aspek keupayaan STP di mana tidak semua STP mampu melaksanakan cadangan rawatan ini.

    Pemantauan dan penguatkuasaan turut ditingkatkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap operasi dan kualiti efluen di STP samada yang dikendalikan oleh STP persendirian mahupun IWK.

    Kerajaan Negeri melalui LUAS turut menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Peraturan-Peraturan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 terhadap aktiviti-aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan ammonia bagi mengawal bahan pencemar yang masuk ke dalam sumber air sekaligus dapat mengurangkan kesan terhadap kualiti air sumber air. Antara aktiviti yang berpotensi dan tertakluk di dalam senarai terjadual adalah penternakan dan akuakultur. Semua pemantauan dan tindakan yang dilaksanakan adalah dijalankan secara bersepadu dan diselaraskan melalui Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Pasukan Petugas Lembangan Sungai Langat yang dipengerusikan oleh Pengarah LUAS.

    Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air (Kettha) juga digesa untuk menyegerakan pelaksanaan pembinaan STP berpusat untuk menyelaraskan kesemua STP di kawasan tadahan dan mematuhi piawaian Kategori 1 iaitu pelepasan ammonia kurang daripada 10ppm. Selain itu, Kerajaan Negeri juga berusaha menganjurkan aktiviti kesedaran awam dengan melibatkan komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi memberi pendedahan akan kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar di samping menjamin sumber air serta mengekalkan kualiti hidup masyarakat sejahtera.

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    Sekiranya kualiti air sungai masih melebihi 1.5 ppm. LUAS telah menyediakan pelan tindakan menanganinya iaitu dengan penggunaan kolam-kolam yang telah dikenalpasti sebagai kolam takungan untuk meningkatkan kadar pencairan di dalam sumber air mentah atau penyaluran terus ke loji pembersihan air (LPA).

Lampiran

Tiada Lampiran.