Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

218) PEMBAHARUAN BANDAR

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan terbaru dalam program pembaharuan bandar yang bakal dilancarkan di Klang, Petaling Jaya dan Kajang?

    Pembangunan semula bandar merupakan salah satu daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor yang telah diumumkan pada 10 Mac 2009. Kerajaan Negeri akan memberi fokus pembangunan semula bandar ini terutama di kawasan Petaling Jaya, Klang, Ampang Jaya dan Kajang memandangkan kawasan tersebut membangun dengan begitu pesat dan terdapat kawasan-kawasan lama yang telah usang dan tidak mampu untuk bersaing dengan pembangunan sekitar yang kian membangun.

     

    Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti kawasan untuk program pembangunan semula bandar. Sekiranya terdapat perkara yang melibatkan undang-undang, Kerajaan Negeri akan mengkaji mengenai Akta-akta dan Undang-undang yang berkaitan dengannya.

     

    Namun demikian, setelah beberapa siri mesyuarat dan perbincangan pembangunan semula bandar yang telah diadakan, Kerajaan Negeri telah memilih kawasan Petaling Jaya sebagai fokus untuk pembangunan semula bandar. Petaling Jaya telah mengalami pertumbuhan pembangunan bermula pada tahun 1950-an dan sehingga kini keluasan kawasan Petaling Jaya meliputi 97.2 kilometer persegi dengan tampungan penduduk seramai lebih kurang 600,000 orang. Petaling Jaya yang bersebelahan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga turut menerima limpahan pembangunan dan perlu bersaing untuk memastikan pembangunan yang lebih kompetitif.

     

    Bagi merealisasikan pembangunan semula bandar di Petaling Jaya, Kerajaan Negeri telah menjemput Juru Perunding Perancang Bandar dan kepakarankepakaran yang berkaitan untuk bekerjasama dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor dan Dato’ Bandar MBPJ bagi mengenal pasti kawasan terpilih di dalam Petaling Jaya dengan mengemukakan Kertas Kerja Konsep Pembangunan Semula Bandar Petaling Jaya.

     

    Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Semula Bandar yang dipengerusikan oleh Y.B. Dr Cheah Wing Yin. Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga telah meluluskan sejumlah peruntukkan bagi pihak Jawatankuasa mengadakan Seminar Antarabangsa ’Urban Regeneration’ – Towards Selangor’s Sustainable Future pada 30 November hingga 1 Disember 2009. Pakar-pakar yang berkaitan dengan pembangunan semula bandar dari negara-negara luar seperti Singapura, USA, Brisbane dan Australia turut dijemput untuk berkongsi idea dan cadangan dalam usaha untuk memastikan pembangunan semula dapat dilaksanakan dengan jayanya.

     

    Bagi kawasan Klang, pihak Kerajaan Negeri melalui Pasukan Kajian Pengindahan dan Pemeliharaan Sungai Klang telah pun menjalankan Kajian Inventori dan Gunatanah bagi jajaran Sungai Klang di dalam Pentadbiran Majlis Perbandaran Klang sepanjang 21 kilometer 50 meter kiri dan kanan tebing sungai.

     

    Kerajaan Negeri begitu komited untuk melihat di kedua-dua kawasan ini iaitu Petaling Jaya dan Klang terus membangun dengan lebih terancang dan sistematik.

     

    Secara ringkasnya, pihak Kerajaan Negeri begitu yakin dan bersungguhsungguh untuk merealisasikan agenda pembangunan semula bandar ini dan mendapat sokongan penuh semua pihak berkepentingan.

Lampiran

Tiada Lampiran.