Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

40) PEMBAKARAN SECARA TERBUKA

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah peranan kerajaan negeri bagi mengawal pembakaran secara terbuka di Selangor?

    Pada tahun 2014, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) telah menerima sebanyak 1,269 aduan mengenai pembakaran terbuka manakala bagi tahun 2015, dari 1 Januari hingga 15 Mac 2015, sebanyak 250 aduan telah diterima yang terdiri daripada pembakaran di tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah haram, ladang, kebun, hutan, belukar dan pembakaran sampah di kawasan perumahan, tepi jalan dan tepi sungai.

    Bagi kawasan Semenyih, sebanyak 30 kes pembakaran terbuka telah dikesan pada tahun 2014 dan 58 kes pembakaran terbuka dikesan pada tahun 2015 bagi tempoh sehingga 15 Mac 2015. Sebanyak 7 kes telah disediakan Kertas Siasatan terhadap kesalahan melakukan pembakaran terbuka untuk diambil tindakan mahkamah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada tahun 2014, manakala kes-kes yang lain dikenakan tindakan kompaun, Notis Arahan atau surat amaran.

    Bagi mengurangkan kes pembakaran terbuka, Kerajaan Negeri mengambil tindakan dengan melaksanakan berbagai cara seperti berikut:-

    • (i) Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh JAS dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah & Daerah dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang didapati melakukan atau membenarkan aktiviti pembakaran terbuka;
    • (ii) JAS menjalankan program pemantauan dan rondaan darat ke atas kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku pembakaran seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah;
    • (iii) Kerajaan Negeri telah mewujudkan Unit Penguatkuasaan Khas bagi mencegah pembakaran terbuka di bawah Majlis Perbandaran Klang bagi memantau kawasan pertanian Revolusi Hujau, Johan Setia, Klang;
    • (iv) Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan hutan yang melibatkan tanah gambut dengan melaksanakan “wáter management system” melalui pembinaan “check dam” dan pembinaan telaga air tanah (tube well) di kawasan tersebut supaya kebakaran dapat dikawal dan dikurangkan;
    • (v) Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, JPAM dan RELA terlibat di dalam kerja-kerja pemadaman bagi kes-kes kebakaran yang telah berlaku melibatkan kawasan hutan, tanah gambut dan tapak pelupusan sampah;
    • (vi) Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah akan digerakkan bagi kes-kes pembakaran terbuka berskala besar untuk mengambil tindakan bersepadu bagi memadam kebakaran tersebut mengikut Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Kebakaran Hutan/PembakaranTerbuka dan Jerebu;
    • (vii) Bagi membantu untuk mempercepatkan pemadaman kebakaran yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kerajaan Negeri telah mendapatkan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menggunakan khidmat penerbangan Bombardier untuk pemadaman kebakaran hutan di Negeri Selangor ;
    • (viii) Kerajaan Negeri Selangor juga melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke-30/2012 yang diadakan pada 15 Ogos 2012 telah membuat keputusan bahawa Pejabat Tanah Daerah akan merampas tanah-tanah terbiar dan tanah-tanah di mana pembakaran terbuka berlaku serta pemilik tanah tidak mengusahakan apa-apa aktiviti dan tidak menjaga tanah mereka; dan
    • (ix) Melaksanakan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada orang awam dan para petani bagi memastikan mereka memberi kerjasama dalam usaha-usaha penjagaan alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.