Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

119) PEMBANGUNAN BAKAT SUKAN DI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri bersedia untuk mengeluarkan dana yang besar bagi melahirkan atlet-atlet Selangor yang berprestasi tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa?

    Bagi melahirkan atlet-atlet Selangor yang berprestasi tinggi sememangnya memerlukan dana yang besar kerana penumpuan untuk melahirkan atlet yang berjaya ini bukanlah satu proses jangkamasa pendek, malah ianya merupakan satu proses jangkamasa panjang yang melibatkan pelbagai elemen Sains Sukan yang perlu diintegrasi dan dibangunkan seiring serta dana besar yang konsisten untuk keberhasilan prestasi atlet yang terbaik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

    Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM7 juta pada tahun 2020 ini kepada Majlis Sukan Negeri Selangor yang bertanggungjawab untuk memastikan pembangunan sukan ini mencapai tahap yang terbaik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Walau bagaimanapun dana ini tidak mencukupi untuk membangunkan kesemua 40 sukan di bawah gabungan pihak Majlis Sukan Negeri Selangor namun pihak Majlis sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan dan sumbangan dengan melibatkan agensi-agensi lain untuk bersama-sama memajukan sukan di Negeri Selangor.

     

    Berdasarkan kepada perkembangan semasa, pihak Majlis memerlukan dana konsisten berjumlah RM18 juta setahun untuk pembangunan sukan secara menyeluruh yang melibatkan keseluruhan elemen dan faktor penting dalam keberhasilan atlet yang berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Elemen-elemen ini penting dan perlu selari dalam proses menghasilkan atlet Selangor yang terbaik khususnya dari aspek pembangunan fizikal dan teknikal melalui program periodisasi, pemakanan atlet melalui suplemen-suplemen yang mengikut spesifik atlet dan jenis sukan, pendedahan kepada kejohanan dalam dan luar negara, keperluan kepakaran (Sains Sukan) dalam menganalisa prestasi semasa, kebajikan atlet dan jurulatih yang melibatkan gaji, elaun dan pendidikan.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.