PEMBANGUNAN BELIA INDIA DI LUAR BANDAR

6) PEMBANGUNAN BELIA INDIA DI LUAR BANDAR

Tahun:

Sesi:

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan negeri mempunyai program khas untuk belia India di luar bandar?

    Kerajaan Negeri setakat ini tiada program khusus yang diwujudkan untuk belia India di luar bandar. Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) mempunyai pelbagai program-program yang boleh disertai oleh golongan belia termasuk belia India. Di antara program-program utama tersebut adalah :

    1. Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MIMBAR)
    2. Skim Mikrokredit Selangor (SKIMSEL)
    3. Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS)
    4. Tabung Anak-anak Pekerja Ladang
    5. Hadiah Pengajian Anak Masuk Ke Universiti
    6. Insentif Perkahwinan Belia
    7. Program Bantuan Dana Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
    8. Bantuan Projek Pembangunan Ekonomi Nelayan, Petani dan Penternak Negeri Selangor

    Program-program sedemikian diwujudkan khusus untuk membantu golongan belia dengan mengambilkira pelbagai aspek seperti bidang perniagaan, pendidikan, kewangan dan sebagainya.

    Selain itu, di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Negeri memberi peluang kepada belia India untuk meningkatkan ilmu dalam bidang kemahiran dan teknikal di bawah Program Kemahiran Teknikal di INPENS International College, Kuala Selangor. Sebahagian besar daripada pelajar yang melanjutkan pelajaran di kolej tersebut adalah ditaja oleh Kerajaan Negeri dari segi kos penginapan, makan dan minum serta yuran pengajian dan tajaan adalah diberikan kepada anak-anak pekerja ladang di Negeri Selangor. Sasaran program ini adalah terbuka kepada semua golongan belia dengan tidak mengira bangsa. Program ini telah banyak membantu golongan belia untuk mendalami bidang kemahiran dan teknikal sebagai satu persediaan untuk bekerja dalam bidang berkaitan di masa hadapan. Berikut adalah senarai anak pekerja ladang yang telah dibantu di bawah program ini mengikut tahun :

    TAHUN JUMLAH PELAJAR DITAJA
    2008
    2009
    2010  175 orang
    2011 145 orang
    2012 106 orang
    2013 102 orang
    2014 42 orang
    Jumlah 570 orang

    Sehubungan dengan itu, di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Kerajaan Negeri seringkali melibatkan penyertaan dari belia-belia India termasuk yang berada di luar bandar dalam pelaksanaan program yang dianjurkan terutamanya program berbentuk perayaan seperti sambutan perayaan Deepavali, Thaipusam dan Ponggal. Penglibatan belia India pada program tersebut adalah merangkumi persembahan, tarian, serta aktiviti-aktiviti kebudayaan.

    Di bawah Jawatankuasa ini juga, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program Job Fair di mana program tersebut memberi peluang pekerjaan kepada golongan belia untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai mengikut kelayakan masing-masing. Inisiatif ini adalah salah satu langkah Kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran di Negeri Selangor yang rata-rata daripada mereka yang menganggur adalah terdiri daripada golongan belia.

Lampiran

Tiada Lampiran.