Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

20) PEMBANGUNAN BELIA NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan bagi mengurangkan kadar pengangguran dikalangan belia dalam Negeri Selangor?

    Dalam usaha bagi membantu belia dalam mendapatkan pekerjaan, Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor telah melaksanakan inisiatif berkaitan bagi menarik pelaburan yang berpotensi dengan mengambil pendekatan dasar terbuka bagi meneruskan kecemerlangan pertumbuhan ekonomi negeri. Sejak penubuhan, Invest Selangor telah berjaya menarik lebih daripada 5,104 projek perkilangan di Selangor. Secara tidak langsung bertanggungjawab untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang luas dan menarik kepada belia Selangor khususnya kepada golongan siswazah.

    Kerajaan Negeri Selangor turut mengambil inisiatif lain dalam menganjurkan program – program tersebut bagi meningkatkan peluang pekerjaan kepada belia Selangor termasuk golongan Siswazah seperti berikut:

    1. Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair

    Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair merupakan program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Job Malaysia Selangor. Program yang dilaksanakan dua (2) kali setahun ini telah diperkenalkan sejak tahun 2015, merupakan platform  bagi menghimpunkan majikan-majikan di negeri Selangor dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor khususnya kepada golongan belia. Program ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan kadar pengangguran. Selain itu, membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja dengan mengutamakan penglibatan warga tempatan berbanding warga asing. Pengisian program ini ialah temuduga terbuka bagi mengisi kekosongan jawatan dari peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga Ijazah. Selain itu, terdapat sesi perkongsian informasi, taklimat dan penerangan agensi, pameran jabatan / agensi luar dan peluang keusahawanan.

    1. Pendidikan Kemahiran dan Vokasional

    Menyediakan pendidikan kemahiran dan vokasional di Kolej INPENS dengan yuran yang berpatutan bagi belia yang kurang berkemampuan tetapi masih ingin meneruskan pembelajaran tanpa mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang. Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini telah menyediakan peluang pendidikan kemahiran dan vokasional dan pembiayaan pelajaran berdasarkan kelayakan pemohon.

    • Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS)

    Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) iaitu sebuah program latihan keusahawanan dalam melalui kursus dalam bidang –  bidang seperti berikut:

    • Kursus Keusahawanan Penternakan (Ruminan & Unggas)
    • Kursus Pemantapan Pemantauan Keusahawanan
    • Kursus Percetakan Segera Pentauliahan Sijil SKM Tahap 3: Peserta Urutan Selepas Bersalin
    • Kursus Keusahawanan Penternakan
    • (Makanan ternakan dan Rancangan Perniagaan)
    • Kursus Soft Skills Usahawan Penternakan & Pengurusan Kewangan (Online)
    • Kursus Keusahawanan Penternakan (Sembelihan Halal & Penyediaan Makanan (BBQ)
    • Mobile Service Aircond
    • Cuci Kasut
    • Mobile Barber
    • Ayam Gunting
    • Terapi Bekam
    • Bakery
    • Mobile Spa
    • Dekorasi Pelamin
    • Kiosk Sate

    Program ini yang diberikan secara percuma merangkumi beberapa kategori iaitu belia, suri rumah, pesara dan ibu tunggal. Pada tahun 2011 hingga 2018, terdapat 3,248 orang peserta yang telah terpilih untuk menyertai Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS). Daripada jumlah tersebut, seramai 2,436 orang peserta (75%) telah berjaya menjana pendapatan melalui program tersebut. Purata pendapatan bulanan mencatatkan jumlah tertinggi bagi purata pendapatan berjumlah RM500 – RM2,000 sebulan melalui 1,712 orang peserta (52.71%).

    1. Program Inisiatif Kemahiran Teknikal & Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)

    Pada tahun 2018, Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) telah diperkenalkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu Belanjawan 2018 Negeri Selangor. Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri Selangor akan memberi pembiayaan kepada 1,000 belia Selangor dalam pelbagai bidang kemahiran berimpak tinggi. Program kemahiran ini menawarkan pelbagai latihan teknikal dan vokasional yang memberi fokus kepada lima bidang utama dalam industri iaitu sains hayat, elektrik dan elektronik,  jentera dan peralatan, makanan dan minuman serta aeroangkasa. Program ini ditawarkan kepada belia Selangor dalam tempoh tertentu di mana setelah tamat program kemahiran ini, belia – belia ini akan diserapkan sebagai tenaga mahir di dalam pasaran industri – industri di Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.