Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

96) PEMBANGUNAN BELIA NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha dan inisiatif Kerajaan dalam membantu dan memperkasa peranan belia dalam Negeri Selangor?

    Populasi belia berumur 15-30 tahun di Negeri Selangor adalah 3 juta berbanding 6 juta rakyat Selangor, berdasarkan Statistik daripada Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (Institute for Youth Research Malaysia – IYRES). Ini bermakna separuh penduduk negeri ini adalah belia. Kerajaan Negeri telah memberi memberi ruang dan peluang untuk mendekati masyarakat terutamanya di peringkat akar umbi untuk mendapatkan maklumbalas, sekaligus disalurkan kepada pihak bertanggungjawab. Hal ini adalah sejajar dengan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang ingin dipupuk dalam kalangan belia negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri telah melantik seramai 288 orang Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang terdiri daripada golongan belia sebagai agen penggerak belia Negeri Selangor dengan peruntukan berjumlah RM1,396,800.00 setahun bagi peruntukan elaun dan sebanyak RM1,440,000.00 untuk peruntukan program Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

             Melalui pelantikan PeBT ini, Kerajaan Negeri  dapat melahirkan pemimpin generasi muda yang cemerlang, kompeten dan berintegriti. Ini penting dalam menguruskan organisasi dengan lebih cekap dan berkesan serta mempunyai sifat keprihatinan dan peka kepada isu masyarakat dan sosial.

    Satu program juga telah diperkenalkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan iaitu Program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan (Eksekutif) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia. Buat masa ini, sudah 60 pelajar sudah berdaftar di bawah program ini. Program ini bertujuan untuk melahirkan golongan belia yang berpendidikan dan berkemahiran.

Lampiran

Tiada Lampiran.