Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

101) PEMBANGUNAN DESA

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Luar Bandar

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Selain dari latihan teknikal penyelenggaraan, apakah program lain yang boleh dikategorikan sebagai Program Pembangunan Desa?

    Program Kemahiran Teknikal Belia Desa merupakan antara program yang diusahakan di bawaah Projek Pembangunan Desa. Program Kemahiran Teknikal Belia Desa ini merangkumi kursus penyelenggaraan perpaipan, elektrik dan penghawa dingin.

    Program ini melibatkan para belia di kawasan luar bandar di mana Ketua-Ketua Kampung diamanahkan untuk memilih para belia yang berminat dalam kursuskursus ini demi memberi peluang untuk mereka maju di masa hadapan.

    Setakat ini seramai tujuh (7) orang dari daerah Hulu Langat telah melapor diri dan sedang mengikuti pengajian di Institut Latihan IKRAM (IKRAM Skills & Retraining Academy ISRA) dan akan diikuti oleh tiga belas (13) orang pelajar dari daerah Klang dan kemudian diikuti daerah-daerah lain berdasarkan jadual dan proses temuduga.

    Kos yang terlibat yang terlibat bagi Kursus Penyelenggaraan Elektrik Tahap 2 selama dua belas (12) bulan adalah sebanyak RM7,400.00 bagi seorang pelajar termasuk yuran pengajian, penginapan, makan minum dan elaun sara hidup.

    Bagi Kursus Penyelenggaraan Penghawa Dingin pula, ianya melibatkan kos sebanyak RM6,950.00 bagi seorang pelajar bagi tempoh lapan (8) bulan sahaja termasuk yuran pengajian, penginapan, makan minum dan elaun sara hidup.

    Kerajaan Negeri Selangor berhasrat agar dengan memberi peluang kepada belia-belia desa untuk menceburi bidang-bidang kemahiran ini, maka setelah mereka tamat pengajian, mereka akan diberi peluang pekerjaan untuk menjaga dan menyelia bangunan-bangunan rumah kos rendah dan pangsapuri sebagai “Maintenance Personal”. Ini bertujuan untuk memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan setelah tamat pengajian.

    Peruntukan RM50 juta adalah bagi tempoh 5 tahun dan setakat ini sebanyak RM180,290.00 telah dibelanjakan bagi tahun 2014. Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji beberapa sektor dan bidang yang boleh diceburi seperti usahasama bersama Nestle dari segi pertanian berkelompok dan “Contract Farming”.

    Program Pembangunan Desa merupakan satu aspek yang meliputi masyarakat desa secara menyeluruh dan melibatkan semua lapisan masyarakat. Semenjak program ini mula dilaksanakan, Kerajaan Negeri sedang meneliti dan melakukan kajian terhadap beberapa cadangan projek sebelum ianya dapat dilaksanakan bagi mengelakkan pembaziran duit rakyat.

    Projek Pembangunan Desa merangkumi pelbagai jenis industri dengan hasrat dapat memajukan dan mendatangkan manfaat kepada masyarakat desa. Oleh itu, industri hiliran dan IKS juga boleh dilibatkan dalam Pembangunan Desa dengan tujuan mencapai matlamat dan objektif Pembangunan Desa.

Lampiran

Tiada Lampiran.