Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

248) PEMBANGUNAN DESA BERSEPADU

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Luar Bandar

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini program pembangunan desa bersepadu?

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara sedang dirangka oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang bertujuan seperti berikut;

     

    1. Menterjemahkan dasar-dasar pembangunan desa kepada pelan fizikal yang berdaya laksana;
    2. Membentuk matlamat, dasar dan perancangan spatial desa yang bersepadu seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan;
    • Mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan Bandar-Luar Bandar;
    1. Menyelaraskan keputusan pelbagai agensi kerajaan dan swasta; dan
    2. Menyediakan mekanisme pelaksanaan dan pemantauan setiap

     

    Selaras dengan itu, di peringkat Negeri Selangor, perincian dasar dan perlaksanaan program pembangunan desa akan ditingkatkan melalui RMK11 bagi melonjak ekonomi dan pertumbuhan desa yang lebih berdaya tahan (resilient rural area), inovatif dan kreatif bagi mendepani cabaran dan kepesatan pembangunan.

     

    Dalam konteks kajian semula Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 pula, di bawah Dasar MP9 iaitu Petempatan Desa Perlu Dirancang dan Dibangunkan Secara Bersepadu dengan Pembangunan Bandar adalah satu dasar khusus yang telah dikenalpasti untuk memastikan pembangunan desa terus memacu pertumbuhan fizikal dan ekonomi negeri yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Selangor. Lanjutan dari itu, Kerajaan Negeri dalam RMK 11, dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan akan memberi fokus untuk menyediakan kajian khusus secara terperinci berkaitan pembangunan desa bersepadu. Antara lain nya, penyediaan sistem maklumat yang lengkap, aktiviti

     

    ekonomi dan kajian inventori secara terperinci bagi kemudahan infrastruktur dan awam di samping mencadangkan penambahbaikan persekitaran dalam usaha untuk meningkatkan kemampuan daya saing, faktor kemahiran modal insan dan ekonomi penumpuan bagi memperoleh penggunaan sumber secara optimum dan menggalakkan daya inovatif dan kreatif.

    Di peringkat Rancangan Tempatan pula sektor pembangunan desa ini terus diberi perhatian yang khusus dan dikaji secara terperinci dari segi perlaksanaan dan menambahbaik kawasan-kawasan desa untuk menjana ekonomi dan menambaik persekitaran. Sebagai contoh dalam Rancangan Tempatan Daerah Sabak Bernam 2025 terdapat beberapa agenda yang melibatkan pembangunan desa di Sabak Bernam yang telah dirangka antaranya ialah Memperkukuhkan Pelancongan, Memperluaskan Hab dan Sistem Pengangkutan, Meningkatkan Ekonomi, Menjadikan Hab Industri Agro Sabak (HIAS) dan Nadi Sabak. Kesemua agenda ini dikenalpasti bagi memacu dan melonjakkan pembangunan desa ke arah yang lebih baik.

Lampiran

Tiada Lampiran.